KUALA LUMPUR – Gelombang politik Melayu-Islam menerusi kerjasama strategik Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) diramal mampu meranapkan penguasaan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, politik identiti kembali menjadi faktor paling dominan dalam mempengaruhi tingkah laku pengundi, sekali gus mengesan pergeseran ketara kerangka pertimbangan rakyat yang kini tidak lagi bergantung kepada rekod pentadbiran atau pembangunan semata-mata.
“Menerusi dapatan kajian lapangan Ilham Centre, naratif membabitkan kedudukan agama dan kuasa politik Melayu dibina secara konsisten sepanjang tempoh berkempen sehingga berjaya mengubah minda pengundi majoriti.
“Apa yang menarik dalam PRN kali ini ialah politik identiti tidak lagi bergerak secara eksklusif di bawah jenama PN seperti Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15 )dan PRN 2023, sebaliknya berkembang menjadi naratif bersama yang dikongsi oleh penyokong BN dan PN sehingga mempercepatkan proses penyatuan di peringkat akar umbi.
“Kajian ini turut mendapati proses perpindahan undi antara penyokong BN dan PN berlangsung dengan amat berkesan apabila penyokong PN memindahkan undi mereka pada kadar 92 peratus di kerusi yang ditandingi BN, manakala penyokong BN memindahkan undi sekitar 75 peratus di kerusi yang ditandingi PN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, konsolidasi undi yang kukuh ini mengakibatkan PH berdepan defisit sokongan Melayu yang amat signifikan apabila dianggarkan hanya memperoleh sekitar 18 peratus sokongan pengundi Melayu di seluruh negeri.
“Kempen PH dilihat hilang punca dan gagal menawarkan naratif balas yang beremosi untuk menyaingi gelombang berkenaan, selain berada di titik rendah pasca kekalahan di Johor serta berdepan kesukaran memenangi imaginasi pengundi biar pun cuba memanfaatkan isu kenyataan perkauman dan RCI Tabung Haji.
“Kita lihat perpindahan kerusi DUN Linggi oleh Menteri Besar, Aminuddin Harun juga didapati memberi impak tersendiri apabila tumpuan beliau terpaksa terhad di kawasan sendiri berbanding menjelajah secara agresif ke seluruh negeri, walaupun masih mengekalkan kadar penerimaan peribadi yang tinggi sekitar 75 peratus,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Hisommudin berkata, PH berdepan cabaran gandaan apabila tidak lagi mendapat sokongan automatik daripada pengundi Cina yang kini cenderung memilih secara pragmatik dan defensif akibat kekecewaan terhadap beberapa dasar nasional serta persepsi kelajuan reformasi institusi.
“Pola pengundian masyarakat India yang merangkumi kira-kira 15 peratus pengundi di Negeri Sembilan turut menunjukkan kecenderungan beralih arah daripada PH disebabkan ketidakpuasan hati terhadap beberapa isu tadbir urus dan penguatkuasaan tempatan.
“Fenomena pengundi muda yang merangkumi 48 peratus daripada keseluruhan daftar pemilih pula menyaksikan peralihan orientasi daripada berasaskan calon kepada jenama parti di mana segmen ini akhirnya banyak dibentuk oleh sentimen Melayu-Islam di media sosial akibat ketiadaan wacana berasaskan dasar yang segar daripada mana-mana pihak,” tambahnya lagi.
Berdasarkan keseluruhan dapatan itu, Ilham Centre meramalkan gabungan BN-PN berpotensi menguasai 22 kerusi DUN untuk membentuk majoriti selesa, manakala PH dijangka memenangi sekurang-kurangnya sembilan kerusi.
Sementara itu, lima kerusi DUN iaitu Chennah, Linggi, Nilai, Repah dan Temiang dikategorikan sebagai terlalu sengit untuk diramal, yang mana sekiranya berjaya ditawan BN, ia berupaya memberi kelebihan majoriti dua pertiga kepada gabungan BN-PN di Dewan Undangan Negeri.
“Kajian lapangan kami mula dijalankan pada 18 Julai hingga 30 Julai itu mengguna pakai kaedah kuantitatif dan kualitatif merangkumi 1,002 responden, enam perbincangan kumpulan berfokus serta 38 temu bual mendalam di seluruh 36 Dun Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette
















