SEREMBAN – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan hari ini bukan sahaja bakal menentukan kerajaan negeri yang baharu malah dijangka menjadi petunjuk penting terhadap beberapa percaturan politik yang mencuri perhatian sepanjang tempoh kempen.
Pemerhati politik, Azizi Safar berkata, terdapat sekurang-kurangnya lima faktor utama yang wajar diperhatikan kerana keputusan yang diperoleh mampu memberi gambaran lebih jelas mengenai hala tuju landskap politik negara menjelang pilihan raya akan datang.
Menurutnya, antara tumpuan utama ialah prestasi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang memilih bertanding secara solo di 24 kerusi selepas gagal memenangi sebarang kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.
Katanya, kegagalan itu bukan sahaja menyaksikan Bersatu tewas di semua kerusi ditandingi malah sebahagian besar calonnya turut hilang wang deposit.
“Persoalan yang timbul sekarang ialah sama ada Bersatu mampu memperbaiki prestasinya di Negeri Sembilan atau sekali lagi berdepan keputusan yang mengecewakan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Selain Bersatu, Azizi berkata, penampilan sulung Parti Wawasan Negara (PWN) yang dipimpin Datuk Seri Hamzah Zainudin turut menarik perhatian apabila parti itu meletakkan empat calon menerusi kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, walaupun jumlah kerusi yang ditandingi kecil, keputusan yang diraih akan menjadi kayu ukur awal terhadap penerimaan pengundi terhadap parti baharu itu.
Dalam masa sama, beliau menyifatkan kerjasama BN dan PN pada PRN kali ini sebagai satu lagi faktor yang bakal menjadi perhatian.
Katanya, buat pertama kali kedua-dua gabungan itu mengelakkan pertandingan sesama sendiri dengan BN bertanding di 25 kerusi manakala PN di 11 kerusi.
“Formula ini dijangka mengurangkan perpecahan undi khususnya dalam kalangan pengundi Melayu. Namun persoalan yang lebih besar ialah sejauh mana ia benar-benar mampu diterjemahkan kepada kemenangan di peti undi.
“Pada masa sama, penerimaan pengundi bukan Melayu terhadap kerjasama itu juga akan menjadi antara penentu keputusan di beberapa kerusi campuran,” katanya lagi.
Azizi turut berpandangan faktor Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh diketepikan memandangkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turun berkempen secara aktif di beberapa kawasan sepanjang dua minggu lalu.
Menurutnya, walaupun pelbagai tinjauan menunjukkan kadar sokongan terhadap Anwar masih melebihi 50 peratus secara keseluruhan, tahap penerimaan dalam kalangan pengundi Melayu dilihat lebih rendah berbanding kaum lain.
“Keputusan hari ini akan menjadi petunjuk sama ada pengaruh Anwar masih menjadi aset kepada PH dalam mempertahankan Negeri Sembilan atau sebaliknya,” jelas beliau.
Beliau berkata, satu lagi perkara yang wajar diberi perhatian ialah sejauh mana isu-isu nasional yang mendominasi kempen memberi kesan terhadap corak pengundian.
Katanya, walaupun PRN sepatutnya tertumpu kepada isu pentadbiran negeri dan prestasi calon, pelbagai isu di peringkat Persekutuan terus menjadi bahan kempen oleh parti-parti bertanding.
“Keputusan hari ini akan menjawab sama ada pengundi membuat pilihan berdasarkan isu nasional yang dibangkitkan sepanjang kempen atau terus menilai prestasi kerajaan negeri serta calon di kawasan masing-masing,” jelasnya.
Azizi berkata, kesemua faktor itu bakal memberikan gambaran lebih jelas mengenai kecenderungan pengundi Negeri Sembilan serta sejauh mana strategi setiap parti berjaya diterjemahkan kepada sokongan di peti undi. – MalaysiaGazette
















