KUALA LUMPUR – Polis Terengganu menahan tiga lelaki yang dipercayai menghadiri acara motosikal RXZ Members 8.0 selepas menemukan jus ketum yang berada di dalam van dinaiki mereka.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, ketiga-tiga lelaki itu ditahan berhampiran susur keluar Stadium Sultan Mizan di Gong Badak kira-kira pukul 7.45 malam semalam.
Hasil pemeriksaan, polis menemukan dua botol mengandungi kira-kira 600 mililiter cecair yang disyaki jus ketum di dalam van Toyota Hiace dinaiki suspek.
Polis turut menyita van berkenaan dan menahan ketiga-tiga lelaki berusia antara 16 hingga 32 tahun itu.
“Suspek bukan berasal dari Terengganu dan dipercayai datang ke negeri ini untuk menghadiri RXZ Members 8.0.
“Siasatan awal mendapati jus ketum itu dibawa masuk dari luar Terengganu untuk kegunaan sendiri sepanjang menghadiri acara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Dua daripada suspek didapati positif methamphetamine, manakala seorang lagi negatif dadah.
Mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Susulan penahanan itu, polis turut menyerbu tujuh buah rumah dan resort yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Seramai 14 individu, terdiri daripada 13 lelaki dan seorang wanita, dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu untuk pemeriksaan. Bagaimanapun, tiada barang menyalahi undang-undang ditemukan dan kesemua mereka disahkan negatif dadah.
Mohd Khairi berkata, polis turut menyiasat sebuah video tular yang didakwa memaparkan penjualan jus ketum berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Paka di Jalan Persekutuan Kemaman-Kuala Terengganu.
Menurut beliau, pihaknya sedang mengenal pasti individu yang terlibat, mengesan sumber bekalan serta menentukan sama ada video berkenaan mempunyai kaitan dengan tangkapan tersebut.
Setakat ini, tkaitan antara kedua-dua insiden itu masih belum dapat disahkan. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Dua peserta RXZ Member 8.0 maut dalam nahas berasingan di LPT
















