SERI MENANTI – Kerajaan Negeri Sembilan akan meneruskan kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan agenda pembangunan serta kebajikan rakyat dapat dilaksanakan secara berkesan tanpa dipengaruhi perbezaan politik.
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim tidak melihat sebarang kejanggalan untuk meneruskan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan kerana perkara paling utama ialah memastikan kepentingan rakyat Negeri Sembilan sentiasa menjadi keutamaan.
“Kita tidak melihat ada sebarang kejanggalan untuk meneruskan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan. Yang penting ialah apa juga yang dilakukan dapat memberi manfaat kepada rakyat Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan di Seri Menanti Resort hari ini.
Menurut Ismail, kerajaan negeri akan mengambil pendekatan yang profesional dalam menjalinkan hubungan dengan Kerajaan Persekutuan kerana kedua-dua pihak mempunyai tanggungjawab yang sama untuk membangunkan negeri dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Katanya, soal politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha membawa pembangunan, pelaburan dan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.
“Kerajaan Persekutuan merupakan sebuah kerajaan perpaduan dan kita akan melihat segala bentuk kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada rakyat Negeri Sembilan,” katanya lagi.
Beliau berkata, pentadbiran negeri akan sentiasa bersikap terbuka dalam menjalinkan hubungan dengan semua pihak selagi ia membawa kebaikan kepada negeri.
Menurutnya, kestabilan hubungan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan amat penting bagi memastikan pelaksanaan dasar serta projek pembangunan dapat diteruskan tanpa sebarang gangguan.
Tambah beliau, pendekatan itu juga akan memudahkan usaha menangani pelbagai isu yang dihadapi rakyat selain mempercepat pelaksanaan inisiatif pembangunan di seluruh Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, Ismail berkata, kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pentadbiran serta memastikan setiap keputusan yang dibuat berpaksikan kepentingan rakyat. – MalaysiaGazette
















