Oleh: Ismail Hashim Yahaya
ADA satu ritual aneh yang berulang setiap kali pesta demokrasi menghampiri. Ia bukan perhimpunan besar di padang atau kempen jalanan yang meriah tetapi pengulangan dua kalimat sakti yang diyakini mampu menggugah jutaan hati, sekali gus melupakan segala kekurangan dan dosa politik di belakangnya.
Dalam PRN di Negeri Sembilan baru-baru ini, kita menyaksikan bagaimana dua slogan utama—”Asal Bukan DAP” dan naratif kuasa Melayu-Islam—telah menjadi mentera yang menggetarkan landskap politik, membawa kemenangan kepada gabungan BN-PN.
Kejayaan ini bukan kali pertama; ia bermula di Johor dan ramai meramalkan ia akan berulang di Melaka dan seterusnya pada Pilihan Raya Umum akan datang. Persoalannya, mengapa dua slogan ringkas ini mempunyai kuasa yang begitu luar biasa sehingga mampu mengatasi segala isu rasuah, politik tidak beretika dan tadbir urus yang lemah?
Untuk memahami fenomena ini, kita perlu melihat lebih dalam pada cara imajinasi kolektif dibentuk dalam masyarakat kita. Manusia tidak hidup semata-mata dengan logika dan fakta. Kita juga hidup dengan cerita, keyakinan dan gambaran tentang dunia yang terbentuk dalam kepala kita sejak kecil.
Gambaran inilah yang disebut sebagai imajinasi—bukan sekadar
khayalan kosong, lebih mendalam lagi struktur mental yang membentuk cara kita melihat realiti. Ia menentukan apa yang kita anggap penting, apa yang kita takuti dan apa yang kita perjuangkan. Dalam politik, imajinasi ini menjadi
medan pertaruhan yang paling penting. Sesiapa yang berjaya membentuk imajinasi kolektif, berjaya juga membentuk pilihan rakyat.
Dalam politik Malaysia hari ini, imajinasi kolektif pengundi Melayu telah dibentuk oleh dua narasi besar. Pertama, DAP adalah ancaman utama kepada kepentingan Melayu-Islam. Kedua, kuasa politik Melayu-Islam sedang terhakis dan hanya boleh diselamatkan dengan mengundi blok tertentu.
Kedua-dua narasi ini, walaupun tidak tepat dan sering dibesar-besarkan, telah berulang kali diperdengarkan sehingga ia meresap ke dalam jiwa. Ia diulang seperti zikir, di pasar, di kedai kopi, di pentas ceramah dan di media sosial. Lama-kelamaan, ia bukan lagi sekadar kata-kata bahkan sebagai satu keyakinan yang dipegang erat—sebuah azimat yang diyakini mampu melindungi pemiliknya daripada bahaya.
Azimat, dalam kepercayaan tradisional Melayu, adalah benda yang dipercayai memiliki kuasa luar biasa untuk melindungi pemakainya. Ia bukan sekadar benda mati, justeru sesuatu yang dihormati, dijaga, dan diwarisi turun-temurun. Orang yang memakai azimat tidak perlu memahami secara saintifik bagaimana ia berfungsi; yang penting adalah keyakinan bahawa ia berkuasa.
Begitulah juga dengan dua slogan politik ini. Ia telah menjadi azimat bagi sebahagian besar pengundi Melayu. Apabila mereka mendengar”Asal Bukan DAP” mereka merasa selamat. Apabila mendengar naratif kuasa Melayu-Islam terancam, mereka merasa terpanggil untuk bertindak. Azimat ini memberi mereka kekuatan, keyakinan dan rasa bahawa mereka sedang mempertahankan sesuatu yang lebih besar daripada diri mereka sendiri—maruah bangsa dan agama.
Inilah yang menjadikan azimat politik ini sangat ampuh. Ia berfungsi seperti perisai yang menangkis segala serangan logika dan fakta. Apabila timbul isu rasuah, pengundi yang memegang azimat ini akan berkata, “Tak mengapa, asalkan bukan DAP”. Apabila timbul skandal politik tidak beretika, mereka akan berkata,”Itu perkara kecil, yang penting Melayu-Islam kekal berkuasa”.
Apabila pemimpin mereka melakukan kesalahan yang jelas, mereka akan mencari seribu satu alasan untuk memaafkan, kerana bagi mereka, azimat itu sendiri lebih penting daripada siapa yang memegangnya. Ini bukan kerana mereka bodoh atau buta, pada hakikatnya kerana mereka telah terperangkap dalam cara berfikir yang menjadikan segala-galanya hitam-putih: “Kami
mempertahankan hak Melayu-Islam dan “Mereka yang hendak meruntuhkannya. Ia antara kami dan mereka.
Bagaimana azimat ini terbentuk? Ia adalah hasil daripada proses panjang di mana narasi ketakutan dan identiti terus dipupuk. Dalam sejarah Malaysia, hubungan antara bangsa Melayu dan kuasa politik telah terjalin erat sejak kemerdekaan. Bagi sebahagian besar pengundi Melayu, kuasa politik bukan sekadar mentadbir negara,, hakikatnya sebagai kelangsungan identiti dan martabat bangsa.
Apabila naratif “kuasa Melayu-Islam akan terhakis” diperdengarkan, ia bukan sekadar kenyataan politik, lebih jauh lagi serangan emosional terhadap rasa selamat mereka. Apabila ketakutan ini digabungkan dengan naratif “DAP adalah ancaman” ia mencipta musuh bersama yang jelas. DAP digambarkan sebagai parti sekular, Cina dan tidak sensitif terhadap kepentingan Melayu-Islam—sebuah karikatur yang sangat berkesan dalam membangkitkan emosi.
Lebih jauh lagi, azimat politik ini mendapat kekuatannya daripada keupayaan meminjam kuasa agama dan tradisi. Naratif Melayu-Islam bukan sekadar politik tetapi juga iman dan identiti keagamaan.
Apabila dikaitkan dengan martabat Islam, institusi raja dan hak istimewa Melayu, ia menjadi kewajipan moral dan agama. Inilah yang membuatkan ia sukar dilawan. Bagaimana hendak melawan sesuatu yang dianggap perintah agama? Bagaimana hendak mempertikaikan sesuatu yang dianggap mempertahankan martabat bangsa? Azimat ini telah menjadi suci dan tidak boleh digugat.
Namun, fenomena ini adalah cabaran bagi Pakatan Harapan sebagai lawan utama. Mereka menghadapi tugas berat: memecahkan lingkaran sihir naratif yang tertanam kuat dalam imajinasi kolektif. Melawan azimat dengan logika rasional sering kali tidak berkesan. Anda tidak boleh meyakinkan seseorang bahawa azimatnya tidak berkuasa dengan hanya berkata “itu hanya kata-kata” anda perlu menawarkan sesuatu yang lebih berkuasa untuk menggantikannya.
Apa yang boleh dilakukan? PH perlu membangunkan imajinasi tandingan dan azimat baru yang lebih kuat. Bukan hanya tentang program ekonomi atau integriti bahkan narasi yang mampu menyentuh keyakinan kolektif. Mereka perlu menawarkan gambaran dunia alternatif di mana kuasa dan identiti Melayu-Islam bukan sahaja selamat tetapi maju dan sejahtera. Mereka perlu menunjukkan bahawa mempertahankan Melayu-Islam tidak bermakna menolak kepelbagaian.
PH perlu mengubah gelanggang pertaruhan daripada naratif identiti kepada isu-isu yang benar-benar dirasai rakyat—kos sara hidup, pekerjaan, pendidikan, dan kebajikan. Mereka perlu membuktikan pencapaian konkrit seperti pembinaan masjid, peningkatan kutipan zakat, dan program memanfaatkan masyarakat Melayu. Pada masa sama, mereka perlu menceritakan semula narasi tentang ertinya menjadi Melayu-Islam di Malaysia moden—narasi inklusif, terbuka, dan penuh harapan, bukan narasi ketakutan.
Namun, sehingga narasi tandingan terbentuk dan diterima, realiti politik tetap pahit. Dua slogan itu akan terus diulang-ulang seperti zikir, menjadi mentera yang membius dan azimat yang melindungi. Pengundi Melayu akan terus mengabaikan isu rasuah dan tadbir urus, kerana pertaruhan yang lebih besar sedang berlaku—pertaruhan tentang identiti, martabat, dan kelangsungan kuasa.
Selagi pertaruhan ini dirasakan nyata, selagi itulah logika rasional akan kalah kepada emosi. Inilah cabaran besar demokrasi kita. Bukan sekadar soal siapa menang atau kalah, lebih mendalam lagi bagaimana membebaskan diri daripada belenggu azimat politik yang menghalang kita melihat realiti dengan jernih.
Selagi terperangkap dalam lingkaran sihir naratif identiti, selagi itulah kita akan mengundi berdasarkan ketakutan, bukan harapan; berdasarkan emosi, bukan logika; berdasarkan azimat, bukan rekod. Dalam jangka panjang, itu kerugian terbesar bagi demokrasi dan masa depan bangsa. Kita mungkin memenangi pertempuran mempertahankan azimat tetapi kehilangan perang untuk membina negara yang adil, makmur dan bersatu padu.

Penulis adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa dan mengulas isu semasa daripada perpepktif semiotik dan naratif.
















