KOTA TINGGI – Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di kilometer 71 Jalan Johor Bahru-Mersing dekat sini semalam.
Kemalangan tersebut mengakibatkan mangsa, Nur Haqila Balqis yang berusia 21 tahun maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima panggian berhubung kejadian tersebut pukul 4 petang yang melibatkan motosikal jenis Yamaha 135LC dan kereta Toyota Corolla Cross.
“Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa terbabas dan masuk laluan bertentangan sebelum melanggar kereta yang dipandu lelaki warga tempatan berusia 40 tahun bersama-sama empat penumpang.

“Kemalangan tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh penolong pegawai perubatan yang bertugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan manakala pemandu dan penumpang kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, kes masih dalam siasatan pihak polis bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihaknya meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu untuk tampil menyalurkan maklumat di Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette
















