KUALA LUMPUR – Pelabur asing kembali ke Bursa Malaysia menjadi pembeli bersih selepas mencatatkan jualan bersih pada minggu sebelumnya, dengan aliran masuk bersih sebanyak RM11.1 juta.
MBSB Research berkata, pelabur institusi asing merupakan pembeli bersih pada tiga daripada lima hari dagangan sepanjang minggu tersebut dengan aliran masuk terbesar direkodkan pada Jumaat (RM131.5 juta), diikuti Khamis (RM76.2 juta) dan Isnin (RM0.2 juta).
Sementara itu, aliran keluar direkodkan pada Selasa (-RM167.8 juta) dan Rabu (-RM29.0 juta), dengan Selasa mencatatkan jualan bersih harian terbesar.
Menurut firma penyelidikan itu, tiga sektor utama yang menerima aliran masuk bersih daripada pelabur institusi asing ialah perkhidmatan kewangan (RM216.5 juta), penjagaan kesihatan (RM148.0 juta), serta pengangkutan dan logistik (RM107.4 juta).
Sebaliknya, tiga sektor yang mencatatkan aliran keluar bersih terbesar ialah produk dan perkhidmatan perindustrian (-RM191.7 juta), teknologi (-RM164.0 juta), dan perladangan (-RM32.8 juta).
Sementara itu, pelabur institusi tempatan kembali menjadi pembeli bersih selepas tiga minggu berturut-turut mencatatkan jualan bersih, dengan aliran masuk bersih sebanyak RM48.1 juta.
Manakala pelabur runcit juga kembali menjadi penjual bersih selepas mencatatkan belian bersih pada minggu sebelumnya, dengan aliran keluar bersih sebanyak RM59.1 juta.
Purata volum dagangan harian (ADTV) menunjukkan peningkatan secara keseluruhan.
Volum dagangan oleh pelabur runcit susut 5.6%, manakala pelabur institusi tempatan meningkat 3.6% dan pelabur institusi asing melonjak 29.9%. – MalaysiaGazette
















