KUALA LUMPUR – Cadangan seorang pemimpin PAS supaya Parlimen dibubarkan sekiranya DAP menarik diri daripada pentadbiran Kerajaan Persekutuan disifatkan sebagai tidak matang.
Timbalan Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, pentadbiran kerajaan dibina berdasarkan mandat rakyat dan sewajarnya diselesaikan dalam tempoh satu penggal penuh.
Tambahan pula katanya, prestasi pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan kerajaan berada dalam keadaan kukuh selain berjaya memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Mengulas mengenai kemungkinan DAP meninggalkan Kabinet, beliau berkata keadaan pentadbiran negara tetap stabil kerana ahli Parlimen parti itu masih menjadi sebahagian daripada blok penyokong kerajaan.
“Keputusan DAP jika berlaku adalah lebih kepada tindakan strategik mereka bagi menumpukan kepada pengukuhan struktur parti dan sewajarnya dihormati oleh semua komponen sahabat serta parti lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Saifuddin berkata, PKR percaya DAP akan terus memainkan peranan dalam memberikan pandangan semak dan imbang serta berkongsi pengalaman bagi membantu pentadbiran kerajaan.
Beliau turut menegaskan keberadaan wakil DAP dalam Kerajaan Madani tidak memberi kesan buruk terhadap pentadbiran, sebaliknya isu berkenaan sering dijadikan alasan untuk mencetuskan sentimen politik.
Katanya, menteri dan timbalan menteri daripada DAP terus menjalankan amanah yang diberikan walaupun berdepan pelbagai tekanan politik.
Menurutnya, prestasi kerajaan pimpinan Anwar akan menjadi jawapan terhadap pelbagai pertikaian dan persepsi yang dibangkitkan, selain kestabilan serta kemakmuran ekonomi negara menjadi fokus utama rakyat.
Media sebelum ini melaporkan, Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berpandangan Parlimen perlu dibubarkan bagi memberi peluang kepada rakyat menentukan hala tuju negara menerusi mandat baharu sekiranya DAP menarik diri daripada Kabinet.
Beliau berkata, tindakan DAP keluar daripada pentadbiran bukan sekadar melibatkan rombakan kerajaan, sebaliknya menjadi petanda kerajaan perpaduan telah kehilangan kesepaduan serta kepercayaan dalam kalangan rakan sekutunya. – MalaysiaGazette
















