Mangsa yang dikenali sebagai Nini dan Thow Siang menunjukkan salinan laporan polis serta foto didera selepas akhbar di Pusat Aduan Team TLK, Kota Puteri, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang wanita kini hidup dalam ketakutan kerana diugut bunuh oleh bekas teman lelakinya yang turut mengancam untuk menyebarkan video seks mereka jika tidak mahu meneruskan hubungan.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nini berusia 29 tahun mendakwa, mula menjadi teman wanitanya pada awal tahun ini dan pada peringkat awal semuanya berjalan dengan baik.

Dia yang bekerja di Singapura sebagai jururawat dan tinggal di Larkin Idaman di sini menjalin hubungan selama lima bulan sebelum memutuskan hubungan tetapi keputusan itu tidak dapat diterima bekas teman lelaki dan keluarganya.

“Saya kemudian memutuskan hubungan kerana teman lelaki, 27, dan mengambil dadah. Sepanjang bersama-sama dia juga tidak mempunyai pekerjaan. Selepas menyatakan hasrat tidak mahu lagi meneruskan perhubungan, saya diugut dan juga dipukul bekas teman lelaki.

“Kemudian keluarga teman lelaki saya juga masuk campur dan suruh kami berbaik semula. Teman lelaki saya ugut jika tidak mahu bersama-samanya lagi, dia mahu bunuh saya dan mengakui dia seorang ahli kumpulan kongsi gelap.

“Dia juga mengugut akan membawa ahli kumpulannya mengganggu saya,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Aduan Team TLK, Kota Puteri di sini hari ini.

Nini berkata, keadaan semakin rumit apabila ibu teman lelakinya turut membuat ugutan untuk menyebarkan foto dan video hubungan intim mereka jika masih mahu memutuskan hubungan.

Malah katanya, bapa dan ibunya turut diganggu ibu teman lelakinya menerusi mesej dalam aplikasi WhatsApp sebelum bekas teman lelakinya menyebarkan foto serta video tersebut dalam aplikasi TikTok.

Dakwanya, di sepanjang tempoh itu dia menerima ugutan bekas teman lelakinya tujuh hingga 10 kali yang mahu terus menyebarkan foto dan video tersebut jika masih tidak mahu bersama-samanya lagi.

Dia kemudian membuat laporan pertama di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan pada 9 Julai lalu supaya siasatan dibuka dan tindakan diambil terhadap bekas teman lelaki dan ahli keluarganya.

Namun katanya, perkara tersebut diselesaikan selepas itu apabila bekas teman lelakinya datang ke balai polis dan memadam semua foto dan video terbabit yang berada dalam telefon bimbitnya.

Dia kemudian manarik semula laporan polis namun, teman lelakinya terus mengugut mahu menyebarkan semula foto dan video intim mereka.

“Bekas teman lelaki saya kata, jika tidak mahu jadi teman wanitanya semula, saya boleh ‘bersamanya’ lagi supaya foto dan video tidak terus disebarkan dalam media sosial. Dia mahu menjadikan saya hamba seksnya,” katanya.

Berikutan itu, dia sekali lagi membuat laporan di IPD yang sama pada 19 Julai lalu selepas foto dan video intim disebarkan kepada ibu, ahli keluarganya dan juga bapa saudaranya.

“Saya membuat aduan ini kerana pihak polis tidak mengambil tindakan susulan terhadap laporan polis yang sudah dibuat. Kali terakhir saya terima ugutan pada Isnin lalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan Team PLK, Lim Thow Siang mahu supaya polis melakukan siasatan secara menyeluruh.

“Sepatutnya polis menjalankan siasatan berdasarkan laporan dan sekiranya ada bukti dan kertas siasatan lengkap boleh bawa ke mahkamah untuk pendakwaaan,” katanya.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast