KUALA LUMPUR – Pelari pecut muda negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee melakr sejarah tersendiri apabila melayakkan diri ke final acara 100 meter (m) lelaki Kejohanan Olahraga Remaja Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) 2026 di Oregon, Amerika Syarikat hari ini.
Kejayaan pelari berusia 19 tahun itu selepas mempamerkan larian cemerlang pada aksi separuh akhir apabila menamatkan saingan separuh akhir kedua di tempat kedua dengan catatan masa 10.36 saat (s).
Catatan itu sekali gus mengesahkan tempat ke final yang dijadual berlangsung pukul 11.50 pagi esok waktu Malaysia.
Dia hanya dibezakan dengan Gary Card dari Jamaica yang muncul juara separuh akhir kedua menerusi catatan 10.16s manakala Richard Machata dari Slovakia turut melangkah ke final selepas menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan masa 10.38s.
Kejayaan itu meneruskan momentum cemerlang Danish yang sebelum ini mencatat rekod terbaik musim (SB) 10.30s ketika memenangi aksi saringan keenam untuk mara ke separuh akhir.
Catatan itu memperbaiki rekod terbaik musim miliknya iaitu 10.38s sekali gus meletakkan dirinya dalam kelompok pencabar utama sebelum berjaya mengesahkan slot ke final.
Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Muhammad Airiel Iskandar Rusli tidak berjaya mengikut jejak langkah Danish apabila menamatkan saringan kelapan di kedudukan kelapan daripada sembilan pelari dengan catatan 10.65s.
Walaupun gagal mara ke separuh akhir, penyertaan Airiel di pentas dunia tetap dianggap pendedahan berharga untuk perkembangan kariernya pada masa depan.
Dalam acara 100m wanita, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira turut menamatkan cabaran di peringkat saringan selepas mencatat masa 11.72s untuk menduduki tempat keenam daripada lapan pelari dalam saringan kelapan. – MalaysiaGazette
















