PELABUHAN KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan lima warga Indonesia selepas disyaki menggunakan dokumen pengenalan diri dan permit kerja tamat tempoh ketika pemeriksaan di sebuah sangkar ikan di perairan Pulau Ketam, di sini semalam.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penahanan dilakukan kira-kira jam 10.40 pagi menerusi operasi bersepadu antara Maritim Selangor dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) untuk memperkukuh pematuhan undang-undang serta meningkatkan penguatkuasaan di perairan negeri itu.
“Hasil pemeriksaan ke atas sangkar ikan tersebut mendapati lima lelaki warga Indonesia berusia antara 19 hingga 35 tahun sedang bekerja di premis berkenaan.
“Hasil semakan lanjut mendapati kesemua mereka mengemukakan dokumen pengenalan diri serta permit kerja yang tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Muhaimin berkata, pemeriksaan turut dijalankan terhadap operasi sangkar ikan berkenaan, namun tiada sebarang pelanggaran dikesan di bawah Enakmen LUAS 1999.
“Kesemua suspek kemudian dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Selangor untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki menggunakan dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang tidak lagi sah,” katanya.
Menurut Abdul Muhaimin, Maritim Selangor akan terus memperhebat rondaan serta operasi penguatkuasaan secara bersepadu bersama agensi berkaitan bagi membanteras sebarang pelanggaran undang-undang di perairan Selangor, termasuk penyalahgunaan dokumen imigresen oleh warga asing.
“Maritim Selangor tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.
“Kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa lain akan terus diperkukuh bagi memastikan keselamatan, kedaulatan dan ketenteraman Zon Maritim Malaysia sentiasa terpelihara,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau sebarang kecemasan di laut melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Selangor di talian 013-660 6652.
“Operasi bersepadu itu mencerminkan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memperkukuh kawalan keselamatan perairan negara, di samping memastikan setiap majikan dan pekerja asing mematuhi peraturan imigresen serta undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















