Dr Mohammad Fahmi Ngah

SHAH ALAM – Laporan Kewangan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi tahun 2024 yang telah diaudit menunjukkan jumlah aset keseluruhan badan itu mencecah RM396 juta.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak RM19.4 juta merupakan pelaburan dengan pulangan direkodkan sebanyak 4.8 peratus pada tahun berkenaan.

“Cakap banyak-banyak tidak guna, saya mahu kongsikan di sini… ada elemen pelaburan? Ada. Ada rugi macam Tabung Haji? Alhamdulillah tidak ada. Siapa yang jaga? MAIS, orang Islam yang jaga,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan dan pertikaian yang dibangkitkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor berhubung risiko pelaburan MAIS ketika perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2026.

Dalam pada itu, Mohammad Fahmi memberi jaminan pengurusan harta dan amanah orang Islam di bawah MAIS tidak terancam seperti didakwa pihak tertentu.

Sebaliknya, beliau menegaskan, pengurusan tersebut dikawal selia dengan baik menerusi sistem audit dan pemantauan yang ketat.

Menurutnya, perkara itu terbukti apabila MAIS menerima sijil audit bersih daripada Jabatan Audit Negara selama 20 tahun berturut-turut sehingga tahun 2024.

Tambah beliau, setiap anggaran pendapatan dan perbelanjaan MAIS turut tertakluk kepada kelulusan Sultan Selangor sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 82 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor).

“Di celah mana pengurusan harta orang Islam dalam MAIS ini terancam? Ia dikawal dengan baik dan terbukti selama 20 tahun dikawal dengan baik,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast