Dennis Lim.

GEORGE TOWN – Polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti serta mengesan individu yang terlibat dalam kes gangguan seksual dalam talian membabitkan seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di daerah Seberang Perai Tengah di sini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah membuka siasatan selepas menerima laporan daripada mangsa pada 4 Ogos lalu berhubung gangguan yang diterima menerusi aplikasi WhatsApp.

“Siasatan awal mendapati pada jam 1.59 tengah hari, mangsa menerima mesej WhatsApp daripada nombor telefon yang tidak dikenali yang meminta mangsa menghantar video peribadinya.

“Pada kira-kira jam 2.06 petang, suspek sekali lagi menghantar satu gambar menggunakan fungsi ‘view once’ yang memaparkan gambar mangsa berserta kata-kata berunsur penghinaan.

“Mangsa mengesyaki perbuatan itu dilakukan oleh individu yang mempunyai kaitan dengan sekolahnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan Seksyen 507E Kanun Keseksaan.

Seksyen 8 Akta 792 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan sebatan tidak kurang tiga kali jika sabit kesalahan, manakala Seksyen 507E Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mengulas lanjut Dennis Lim berkata, mangsa juga pernah membuat dua laporan polis sebelum ini yang diklasifikasikan sebagai rujuk lain agensi kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi tindakan lanjut.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh menjejaskan siasatan polis.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohamad Syafiq Iqmal Ismail di talian 04-538 2222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

GPMS gesa KPM, polis bertindak segera kes buli seksual calon SPM

Calon SPM jadi mangsa buli seksual, ibu rayu siasat segera pelaku

JPN P.Pinang jamin lindungi mangsa buli seksual, kes dalam siasatan polis

MalaysiaGazette semalam melaporkan seorang calon SPM didakwa menjadi mangsa buli seksual digital selepas wajahnya digunakan dalam imej suntingan berunsur lucah dan disebarkan melalui poster serta akaun media sosial palsu.

Remaja perempuan itu berdepan gangguan berulang sejak April lalu apabila maklumat peribadi termasuk nama, kelas dan nombor telefonnya turut tersebar, menyebabkan dia mengalami tekanan emosi serta malu untuk ke sekolah dalam daerah Seberang Perai Tengah.

Ibu mangsa yang hanya dikenali sebagai Nur, 46, merayu supaya pihak berkuasa mempercepatkan siasatan bagi mengenal pasti individu bertanggungjawab selepas mendakwa anaknya sudah membuat tiga laporan polis berkaitan kejadian berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast