Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh Datuk Ismail Lasim mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah. Foto MOHD ADZLAN, 02 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR  – Sekretariat Taat Setia Sokongan Yang Dipertuan Besar (YDPB) Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menzahirkan sokongan penuh terhadap pelantikan Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu.

Pengerusinya, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata, pihak sekretariat merakamkan ucapan tahniah kepada Ismail atas perkenan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan ke-13.

Menurut beliau, pelantikan itu diyakini selari dengan titah serta perkenan Tuanku Muhriz, selain disifatkan mampu membawa kepimpinan yang berwibawa, berintegriti dan berjiwa rakyat demi memacu pembangunan negeri.

“Sekretariat Taat Setia Sokongan Tuanku Muhriz dengan penuh rasa syukur dan taat setia merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Ismail Lasim atas perkenan pelantikan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan Ke-13.

“Kami percaya pelantikan ini adalah selari dengan titah dan perkenan Tuanku. Negeri Sembilan memerlukan kepimpinan yang berwibawa, berintegriti dan berjiwa rakyat untuk memacu negeri ke hadapan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Megat D. Shahriman berkata, sekretariat itu turut memberi komitmen untuk menjunjung tinggi institusi diraja, di samping bekerjasama rapat dengan kepimpinan Menteri Besar bagi memastikan kemakmuran rakyat Negeri Sembilan terus diperkukuhkan.

Beliau berkata, sekretariat berkenaan bersedia menggembleng tenaga bersama kerajaan negeri demi mempertahankan maruah, kedaulatan serta masa depan Negeri Sembilan di bawah naungan Tuanku Muhriz, selain mendoakan agar kepimpinan Menteri Besar sentiasa diberkati Allah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Datuk Ismail Lasim selesai mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu.

Ismail, 67, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti, pada 11.40 pagi Ahad lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast