KUALA LUMPUR – Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan dan CTRA Production menjalinkan kerjasama strategik dalam usaha memartabat dan memperkasakan seni teater menerusi pementasan Teater Muzikal Tomyam Berdarah yang dijadualkan berlangsung pada 28, 29, dan 30 Ogos 2026 di Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor.

Usaha sama tersebut adalah melalui penglibatan kumpulan pelajar dan alumni daripada Akademi Teater Rupawan Asli (ATRA) di bawah Angkatan Seni Budaya USIM.

Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Mohd. Salehudin Sukor berkata, pihaknya menyambut baik hasrat CTRA Production yang komited membawa naskhah Teater Muzikal Tomyam Berdarah dan kumpulan pelajar institusi berkenaan pada skala lebih besar.

“Kami melihat strategik seumpama ini membuka ruang dan peluang kepada kedua-dua pihak menyumbang ke arah kerancakan industri seni persembahan tanah air, sekali gus membantu mengasah bakat pelajar dalam kemahiran produksi meliputi pelbagai aspek.

“Secara tidak langsung, platform beraksi di pentas lebih besar dan luar kampus dapat memberi pendedahan kepada mereka (pelajar) meningkatkan skil dari segi artistik persembahan dan pengurusan pentas, apatah lagi dibimbing oleh pengarah Teater Muzikal Tomyam Berdarah, Aloeng Silalahi juga merupakan tenaga pengajar di USIM,” katanya ketika sesi kunjungan hormat CTRA Production di Pusat Kebudayaan USIM, baru-baru ini.

Hadir sama ialah Pegawai Kebudayaan Kanan USIM, Rozihani Mohamad; Penerbit CTRA Production, Siti Rohayah Attan dan Aloeng Silalahi.

Sementara itu, Aloeng Silalahi turut bertindak sebagai penulis skrip teater berkenaan memberitahu, seramai 28 pelajar dan alumni ATRA melalui penglibatan bersama Kelab Kejar Tayang akan terlibat dalam produksi Teater Muzikal Tomyam Berdarah.

“Selain persembahan, kumpulan ATRA juga akan mengendalikan aspek, props, solekan, susunan muzik dan wardrobe. Pendek kata, mereka ini berkebolehan menguruskan perihal produksi secara keseluruhan, bukan berlakon semata-mata,” ujarnya.

Teater Muzikal Tomyam Berdarah merupakan pementasan teater muzikal interaktif bergenre satira jenayah menggabungkan elemen komedi gelap, siasatan dramatik dan naratif makanan tempatan.

Ia bukan sekadar cerita tentang kematian, tetapi mengenai hidup yang ‘direbus’ bersama harapan, dendam dan identiti – semua itu disajikan di dalam satu periuk tomyam.

Berlatarkan sebuah restoran yang sedang siap siaga menyertai pertandingan Master Chef Universe, kekecohan bermula apabila pemilik restoran, Chef Rahman ditemui mati di dalam periuk tomyam warisannya sendiri. Dari situ, dapur menjadi lokasi jenayah dan setiap pekerja menjadi suspek — semuanya ada motif, semuanya menyimpan rahsia!

Antara pelakon terbabit dalam Teater Muzikal Tomyam Berdarah ialah Karl Shafek dan Juhara Ayob serta kumpulan pelajar USIM dan UKM.

Inisiatif pementasan ini salah satu bentuk sokongan terhadap usaha kerajaan yang sentiasa proaktif memperkasakan dan mengasah kemahiran generasi muda dalam bidang kulinari sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sehingga tahap profesional.

Apatah lagi, melihat landskap gastronomi semakin berkembang khususnya bidang masakan menjadi pilihan utama sebahagian besar rakyat Malaysia mendorong CTRA Production dan Peran Opera mengangkat industri makanan dan minuman (F&B) dalam pementasan Teater Muzikal Tomyam Berdarah.

INFO TEATER MUZIKAL TOMYAM BERDARAH

Tarikh  : 28,29, 30 Ogos 2026

Masa    : 3 petang dan 8.30 malam

Lokasi  : Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor

Tiket     : RM25 dan RM35

Cara pembelian: Layari www.ilassotickets.com atau WhatsApp Hotline (601113297822). -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast