Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari (dua dari kanan) melakukan gimik bagi Majlis Pelancaran Bulan Rakan Demokrasi: Kuasa Orang Muda di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), hari ini.

PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu golongan muda memilih pemimpin berdasarkan prestasi serta fakta bukan sentimen atau politik identiti.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, pendekatan itu antara objektif utama inisiatif Kuasa Orang Muda (KOM) yang dilancarkan sempena Bulan Rakan Demokrasi bagi meningkatkan literasi demokrasi dalam kalangan belia.

Menurut beliau, program berkenaan merupakan pelaburan jangka panjang untuk membentuk generasi muda yang lebih bertanggungjawab dalam menentukan hala tuju negara.

“Kita mahu memberikan pendedahan kepada anak muda tentang bagaimana memilih pemimpin berdasarkan data dan fakta, bukan berdasarkan sentimen semata-mata.

“Kita ingin membudayakan politik prestasi berbanding politik identiti. Prestasi kerajaan dan pemimpin perlu menjadi asas utama dalam membuat pilihan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Bulan Rakan Demokrasi: Kuasa Orang Muda di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini hari ini.

Mohammed Taufiq berkata, selepas pelaksanaan Undi 18, kerajaan perlu menyediakan platform yang membolehkan anak muda memahami sistem demokrasi serta kepentingan mengundi.

Katanya, inisiatif itu bukan sekadar memberi pendedahan mengenai proses pilihan raya sebaliknya membentuk kesedaran bahawa setiap undi yang dibuat akan menentukan hala tuju negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Pendekatan program akan diperluaskan ke seluruh negara menerusi siri jelajah ke institusi pengajian tinggi (IPT), kolej dan komuniti selain diperkukuh melalui platform digital bagi mendekati lebih ramai anak muda.

“Pendekatan kita bersifat neutral dan mengutamakan kepentingan negara. Kita mahu memberikan ilmu supaya anak muda bebas membuat pilihan berdasarkan kefahaman mereka sendiri,” katanya.

Sepanjang Bulan Rakan Demokrasi, pelbagai program akan dilaksanakan di seluruh negara termasuk Festival Kuasa Orang Muda x Mega Careers & Study Fair 2026 yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 22 dan 23 Ogos ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast