Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. - Gambar fail.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu, Lim Guan Eng telah diberikan penerangan dari sudut perundangan sebelum pelaksanaan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang.

Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zulhilmi Ramli, 34, berkata, selaku Ketua Menteri ketika itu, Guan Eng turut mendapat pandangan berkaitan Kanun Tanah Negara pada Mesyuarat Exco sekitar 2011.

Menjawab soalan peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Guan Eng, pegawai penyiasat itu bersetuju tertuduh telah meminta nasihat daripada Penasihat Undang-Undang Negeri (ketika itu), Datuk Faiza Zulkifli bagi memastikan sama ada projek tersebut boleh dijalankan dari segi undang-undang.

Peguam: Tertuduh minta nasihat undang-undang sama ada projek itu melanggar hak pemilik tanah, isu bawah tanah atau terdapat perlanggaran Kanun Tanah Negara.
Saksi: Setuju.

Peguam: Semua perkara ini telah diambil tindakan oleh penasihat undang-undang negeri?
Saksi: Betul.

Peguam: Setuju atau tidak, dari segi prosedur, dia (Guan Eng) minta nasihat dari Setiausaha Kerajaan Negeri dalam mesyuarat bagi memastikan langkah seterusnya boleh diambil?
Saksi: Tidak pasti.

Zulhilmi menyatakan demikian ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes Guan Eng, 65, berkaitan kes rasuah RM3.3 juta melibatkan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Saksi turut bersetuju perbincangan mengenai tanah direkodkan dalam minit Mesyuarat Exco dan penasihat undang-undang negeri bertindak berdasarkan arahan Exco.

Zulhilmi selanjutnya berkata, projek tersebut perlu melalui proses pra kelayakan (Pre Q) dan permohonan cadangan (RFP) selain dua memorandum persefahaman dimeterai pada 17 Mac dan 23 Mac 2011.

Saksi pendakwaan ke-38 itu turut bersetuju bahawa satu jawatan kuasa ditubuhkan bagi menilai Pre Q dan RFP.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 10 September ini.

Guan Eng didakwa ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta.

Ia dilakukan dengan membantu syarikat milik bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik melaksanakan projek pembinaan jalan utama dan terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast