Md Israk Abdullah

JOHOR BAHRU – UMNO Johor menegaskan Isu kekurangan jururawat dan kakitangan di hospital-hospital di negeri ini yang dibangkitkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi bukan soal politik atau mencari salah sesiapa.

Sebaliknya, Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah berkata, isu atau tuntutan Johor itu adalah untuk memastikan hospital-hospital di negeri ini mempunyai tenaga kerja yang mencukupi.

Jelas beliau, ini bagi memastikan agar doktor, jururawat dan seluruh petugas kesihatan tidak terus dibebani dengan tekanan kerja yang berlebihan sehingga menjejaskan kesejahteraan mereka serta kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

“Apa yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Johor bukanlah satu sandiwara politik, sebaliknya manifestasi tanggungjawab kepada Bangsa Johor.

“Walaupun urusan pelantikan dan penempatan petugas kesihatan berada di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Kementerian Kewangan, Johor tidak pernah berpeluk tubuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, kerajaan negeri sudah membelanjakan puluhan juta ringgit bagi menaik taraf fasiliti kesihatan, membantu pelaksanaan doktor locum, menjaga kebajikan petugas kesihatan serta melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh sistem kesihatan negeri.

Dalam masa sama katanya, kepimpinan negeri Johor terus menggunakan setiap saluran rasmi untuk membawa isu kekurangan petugas kesihatan kepada Kerajaan Persekutuan.

Beliau memberitahu, Hospital Pasir Gudang; Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Sultan Ismail memerlukan pengisian jawatan yang segera.

Kekosongan yang berlarutan, katanya, bukan sahaja membebankan warga kerja kesihatan, malah memberi kesan langsung kepada rakyat yang memerlukan rawatan.

Justeru katanya, Johor akan terus menjadi rakan strategik kepada kerajaan Persekutuan dalam mencari penyelesaian terbaik.

Namun, pada masa sama, ujarnya, Johor berhak menuntut agar setiap komitmen yang sudah diberikan diterjemahkan kepada tindakan yang nyata demi memastikan sistem kesihatan negeri terus diperkukuh.

“UMNO Negeri Johor berpandangan bahawa isu ini bukan soal politik atau mencari salah sesiapa.

“Ia adalah soal amanah kepada rakyat, kebajikan petugas kesihatan dan tanggungjawab bersama-sama untuk memastikan Bangsa Johor menerima perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, cekap dan mampan,” katanya.

Selasa lalu, Onn Hafiz melahirkan kebimbangan apabila Hospital Pasir Gudang masih belum beroperasi sepenuhnya kerana kekurangan tenaga kerja.

Beliau dilaporkan berkata, daripada keseluruhan 2,271 jawatan yang diperuntukkan di hospital berkenaan, hanya 1,079 jawatan sudah diisi manakala 1,192 lagi masih kosong sehingga kini.

Jelas beliau, kekosongan tersebut membabitkan pakar perubatan, jururawat serta petugas kesihatan lain. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast