Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Mesyuarat Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU tergempar di Ibu Pejabat BERSATU di Yayasan Selangor Petaling Jaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 16 JUN 2026

KUALA LUMPUR – Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai keanggotaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) tergugur dengan sendirinya disifatkan bercanggah dengan Perlembagaan gabungan itu.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tiada sebarang fasal dalam Perlembagaan PN yang memperuntukkan keanggotaan sesebuah parti anggota boleh tergugur secara automatik.

Menurutnya, sebarang keputusan berhubung kedudukan Bersatu sebagai parti anggota hanya boleh dimuktamadkan oleh Majlis Presiden berpandukan Fasal 7A Perlembagaan PN.

“Sehingga kini, Majlis Presiden tidak pernah bersidang untuk menentukan keanggotaan Bersatu dalam PN. Justeru, Bersatu masih parti anggota PN yang sah.

“Presiden Pas tidak mempunyai apa-apa hak atau kuasa veto untuk menentukan kedudukan Bersatu dalam PN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Azmin berkata, setiap parti tertakluk kepada hak yang telah termaktub bawah Fasal 7 Perlembagaan PN.

“Fasal 7.1 yang menetapkan bahawa setiap parti anggota mempunyai hak sepenuhnya untuk menghadiri, memberi pendapat dan mengundi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi, Badan Perhubungan Negeri dan Badan Perhubungan Kawasan masing-masing.

“Jadi, tindakan Pengerusi dan Setiausaha Agung PN menghalang wakil Bersatu daripada menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu sebagai satu pelanggaran perlembagaan yang serius,” ujarnya.

Katanya, mesyuarat berkenaan diadakan bagi membuat keputusan berhubung pengagihan kerusi dan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini.

“Bersatu bakal mengemukakan aduan rasmi kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS).

“PN yang kini dikuasai Pas tidak lagi menjunjung perlembagaan gabungan itu, mengenepikan prinsip tadbir urus yang baik serta bertindak secara semberono dan tidak demokratik,” katanya lagi.

Tambahnya, Bersatu akan bertindak mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan serta sentiasa mempertahankan prinsip keadilan dan kesederhanaan demi masa depan rakyat dan negara.

Terdahulu, Abdul Hadi berkata, langkah Bersatu yang berhasrat membentuk pakatan baharu bersama parti lain menyaksikan keahlian parti itu dalam PN terbatal secara automatik.

Beliau berkata, perkara itu jelas dalam perlembagaan gabungan PN di mana mana-mana parti yang memutuskan untuk menyertai atau membentuk pakatan lain akan hilang keahlian. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast