KUALA LUMPUR – Bekas penyampai radio Ismahalil sempat berkongsi video sambil memberitahu dia tenang dan reda menerima hukuman penjara 30 tahun yang dikenakan oleh Mahkamah Rayuan hari ini.
Menerusi rakaman video yang tular, Ismahalil, 53, turut merakamkan penghargaan atas doa orang ramai sambil menyifatkan hukuman itu sebagai takdir hidupnya.
“Allah bagi keputusan macam ini. Insya-Allah, terima kasih semua kawan-kawan, terima kasih semua.
“Kepada anak-anak ayah, doakan ayah, mungkin ini bahagian ayah. Kepada lawyer, kepada semua sekali.
“Ini mungkin video terakhir saya sebelum menjalani kehidupan seterusnya,” katanya dalam video itu.
Difahamkan video berkenaan dikongsi oleh isterinya, Nor Haslinda Abdul Manaf kepada rakan-rakan ahli kumpulan WhatsApp Bapakku FM selepas menerima keputusan mahkamah.
Pada masa sama, Ismahalil berkata, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak atas nasib yang menimpa dirinya.
“Demi Allah saya tak ada nak menyalahkan siapa-siapa. Semua ketentuan Allah. Terima kasih semua yang mendoakan. Kita dah berusaha dan kita telah mendoakan,” luahnya.
Hari ini, Ismahalil dihukum penjara 30 tahun kerana mengedar dadah selepas Mahkamah Rayuan mengetepikan pembebasannya.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Noorin Badaruddin bersama Datuk Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashim Abdul Hamid memerintahkan pengasas ‘Bapakku FM’ itu menjalani hukuman bermula hari ini.
Pada 17 Julai 2023, media melaporkan Ismahalil dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis di rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju pada September 2011.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menjatuhi hukuman itu terhadap bekas penyampai Radio Muzik di RTM itu selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaannya.
Mengikut pertuduhan, Ismahalil didakwa mengedar kanabis seberat 374.6 gram di rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, 5.35 petang 27 Ogos 2021. – MalaysiaGazette















