Antara ADUN BN yang angkat sumpah sebagai Ahli Majlis Kerajaan Negeri pagi ini.

SERI MENANTI – Pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan di bawah gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) lengkap dibentuk hari ini selepas 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti.

Lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BN yang mengangkat sumpah ialah Datuk Mohd Faizal Ramli (Linggi); Datuk Zaifulbahri Idris (Chembong); Datuk Mustapha Nagoor (Palong); Datuk Mohd Asna Amin (Lenggeng); Datuk Mohd Razi Mohd Ali (Sungai Lui); Siti Nur Umaira Hasim (Labu); Siow Kong Choon (Chennah) dan Suhaimizan Bizar (Gemencheh).

Dua lagi Exco mewakili PN ialah Mohd Fairuz Mohd Isa (Serting) dan Datuk Razali Abu Samah (Sikamat).

Istiadat mengangkat sumpah itu turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim yang mengangkat sumpah jawatan pada Ahad lalu.

Pembentukan barisan Exco menamatkan penantian mengenai susunan pentadbiran negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu yang menyaksikan BN memenangi 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN memperoleh tujuh kerusi.

Dengan pelantikan itu, kerajaan negeri kini mempunyai barisan pentadbiran penuh bagi membantu Menteri Besar mengurus portfolio dan pentadbiran negeri untuk penggal baharu.

Portfolio setiap exco dijangka diumumkan oleh kerajaan negeri dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast