RAWANG – Sebuah kereta jenis Nissan musnah kira-kira 90 peratus dalam kebakaran di jalan masuk ke Rawang berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rawang, di sini, tengah hari tadi.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 1.55 tengah hari itu, tiada mangsa dilaporkan cedera.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.55 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurut beliau, jentera bomba tiba di lokasi kejadian pukul 2.05 petang selepas menempuh perjalanan sejauh 18 kilometer.
“Sebaik sahaja tiba, komander operasi mendapati kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Nissan yang telah terbakar kira-kira 90 peratus.
“Anggota bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman dan berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, operasi pemadaman melibatkan tujuh anggota terdiri daripada enam pegawai bomba dan seorang pegawai kanan bomba dengan bantuan sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dari BBP Bukit Sentosa.
Jelas beliau, punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba. – MalaysiaGazette
















