RAWANG – Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an tersepit di tempat duduk pemandu selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori simen di Kilometer 397.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.04 pagi itu, seorang lagi mangsa lelaki berusia lingkungan 30-an tercampak keluar dari kenderaan dan mengalami kecederaan serius di bahagian kepala serta patah tangan kanan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 10.04 pagi.
Menurut beliau, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dengan kekuatan lima anggota bersama sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 42 kilometer dari balai.
“Jentera bomba tiba di lokasi pada pukul 10.50 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori simen serta sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max.

“Seorang mangsa lelaki Melayu berusia lingkungan 30-an didapati masih tersepit di dalam kenderaan, manakala seorang lagi mangsa lelaki India berusia 30-an tercampak keluar dan mengalami kecederaan di bahagian kepala selain patah tangan kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, anggota bomba segera menjalankan operasi menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas menyelamat.
Katanya, operasi berjaya dikawal pada pukul 10.58 pagi, manakala kerja-kerja mengeluarkan mangsa dan tindakan lanjut masih diteruskan.
Punca kemalangan serta tahap kecederaan kedua-dua mangsa masih dalam siasatan pihak berkuasa. – MalaysiaGazette
















