KUALA LUMPUR – Isu sekatan akses portal MyKhas untuk peruntukan kawasan yang menimpa Ahli-ahli Parlimen Parti Keadialan Rakyat (PKR) membuka mata rakyat tentang cara pentadbiran kerajaan hari ini.
Naib Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Ahli-ahli Parlimen PKR itu bukan pembangkang, sebaliknya daripada parti Perdana Menteri sendiri, yang menang atas tiket kerajaan dan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun, kata Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu, disebabkan perbezaan pandangan, peruntukan untuk kawasan mereka terus disekat tanpa ada alasan yang jelas.
“Kalau dengan wakil rakyat sendiri pun sanggup dibuat macam ini, tak peliklah kenapa kami di barisan pembangkang terus dizalimi dan dinafikan hak peruntukan yang adil sejak Kerajaan Madani mengambil alih.
“Bila pembangkang minta hak untuk rakyat, jawapan yang diulang-ulang dari dulu cuma satu: “Runding, runding, runding.”
“Tapi bila tengok apa jadi pada MP Ampang, Subang, dan PJ, bukannya rundingan yang mereka dapat, tapi tekanan dan sekatan.
“Peruntukan Parlimen dijadikan alat politik ganjaran dan hukuman (carrot and stick), bukannya hak rakyat yang mengundi,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Wan Saiful menambah, beliau pernah mendedahkan dalam Dewan Rakyat bagaimana beliau ditawarkan peruntukan untuk melompat menyokong Anwar, namun tegas menolak.
“Nampaknya benarlah bahawa PMX ini menggunakan dana negara untuk kepentingan politik.
“Slogan reformasi dan keadilan yang dilaungkan dulu hanya sekadar di bibir sahaja. Yang jadi mangsa akhirnya adalah rakyat di akar umbi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semakin rakyat ditekan dan diabaikan, semakin kuat rakyat akan bangkit menuntut keadilan.
Ujarnya, isyarat kebangkitan dan keresahan rakyat itu sudah jelas terlihat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan PRN Negeri Sembilan lalu.
Semalam, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail mendakwa menjadi wakil rakyat PKR terbaharu yang tidak dapat mengakses portal MyKhas, yang menguruskan peruntukan khas kawasan Parlimen.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dan Ahli Parlimen Subang Wong Chen, sejak beberapa bulan kebelakangan ini turut melaporkan kehilangan akses kepada sistem berkenaan. – MalaysiaGazette
















