Pasangan suami isteri warga emas yang ditahan AADK Pahang menerusi Ops Cegah Khas

KUANTAN – Pasangan suami isteri warga emas merupakan antara 191 individu didapati positif dadah ketika serbuan Ops Cegah Khas yang dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serentak di seluruh negara selama tiga hari bermula 4 Ogos lepas.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK, Mahadzir Elias berkata, pasangan masing-masing berusia 64 tahun dan 59 tahun itu ditahan di kediaman mereka di Jalan Gambang, di sini.

“Difahamkan mereka telah terlibat penyalahgunaan dadah dan bahan ni sejak 30 tahun lepas dan tak pernah ditahan sebelum ini.

“Kedua-dua mereka tidak bekerja dan perbelanjaan harian ditanggung oleh anak di mana mereka mempunyai lima orang anak.

“Jadi, dengan tangkapan AADK kali ini, kita cuba bantu untuk mereka kembali berfungsi dalam komuniti dengan lebih baik,” katanya.

Dari kiri; Pengarah AADK negeri Pahang, Aman Mustapha; Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK, Mahadzir Elias dan Ketua Penolong Pengarah (Operasi) Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK, Hamizan Haidzir

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri Pahang, di sini yang turun dihadiri Ketua Penolong Pengarah (Operasi) Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK, Hamizan Haidzir dan Pengarah AADK negeri Pahang, Aman Mustapha.

Menurut Mahadzir, pasangan itu merupakan antara 254 orang pengguna serta penyalahguna dadah dan bahan yang ditahan dalam operasi di negeri Pahang di mana 131 orang daripada merupakan pengguna dadah yang baru dikesan.

Daripada jumlah itu, katanya seramai 191 orang membabitkan 183 lelaki dan 8 wanita didapati positif dadah atau bahan yang berusia antara 19 tahun hingga 64 tahun.

“Manakala 23 daripada mereka adalah kes gagal hadir jamin di mana mereka pernah ditahan oleh pihak AADK sebelum ini tetapi ingkar arahan untuk hadir pada tarikh yang ditetapkan untuk tindakan selanjutnya.

“Mereka ini dikesan masih menggunakan dadah ketika dalam tempoh arahan rawatan dan pemulihan penyalahgunaan dadah, maka sebab itu kita tahan semula,” jelasnya.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK, Mahadzir Elias menemui kesemua tahanan pengguna dan penyalahguna dadah dan bahan di Kompleks Kementerian Dalam Negeri Pahang, di sini hari ini

Sementara itu, katanya dua kawasan yang mencatat jumlah tangkapan tertinggi di Pahang adalah Kuantan (67 orang) dan Rompin (28 orang).

Dalam operasi ini kali ini juga, Mahadzir berkata, AADK Pahang memberi tumpuan terhadap isu penyalahgunaan dadah khususnya di kawasan Felda dan mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara berterusan di seluruh Felda.

“Seramai 66 orang telah didapati positif dadah di kawasan Felda yang melibatkan 6 daerah di negeri ini.

“Menyahut titah Sultan Pahang, baginda secara konsisten menzahirkan rasa kebimbangan terhadap gejala penyalahgunaan dadah dan bahan di tanah rancangan Felda.

“Jadi, operasi penguatkuasaan dan pencegahan berterusan oleh AADK ini merupakan langkah nyata dalam merealisasikan titah baginda yang mahukan tindakan drastik diambil bersama oleh semua pihak,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan apabila mendapati gejala penggunaan dan penyalahgunaan dadah kian menular dalam kalangan komuniti orang asli.

Katanya, hasil operasi yang dijalankan di penempatan masyarakat orang asli di sekitar daerah Pekan dalam tempoh tiga hari ini, AADK berjaya menahan hampir 40 individu yang terjebak najis dadah.

“Saya pun terkejut juga apabila saya turut serta dalam operasi di kawasan penempatan orang asli di sekitar Runchang, Pekan kerana gejala penggunaan dadah dalam kalangan masyarakat orang asli semakin membimbangkan.

“AADK melakukan operasi di satu kawasan penempatan mereka selama dua hari berturut-turut, kali pertama AADK menahan 30 orang asli dan semalam seramai 12 lagi orang asli ditahan, kebanyakannya memberitahu bekerja sebagai buruh dan kerja kontrak.

“Mungkin tumpuan AADK selepas ini adalah pendidikan pencegahan dalam komuniti orang asli pula,” katanya lagi.

Katanya, kesemua yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan & Pemulihan) 1983. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast