MUAR – Seorang penghuni sebuah pusat jagaan warga emas ditemukan meninggal dunia di depan sebuah premis di Jalan Meriam di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, lelaki berkenaan ditemukan tidak bernyawa di laluan pejalan kaki kawasan parkir kenderaan di depan premis berkenaan.
“Kita mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan seorang lelaki yang berusia 78 tahun ditemui meninggal dunia di hadapan premis itu kira-kira pukul 8.30 pagi tadi.
“Sasatan awal mendapati si mati merupakan penghuni sebuah pusat jagaan warga emas di Muar sejak tahun 2024,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pihak pengurusan pusat jagaan terbabit memaklumkan mangsa lazimnya berjalan kaki ke kawasan Bentayan untuk bersarapan.
Namun katanya, sejak kebelakangan ini, mangsa sering mengadu mengalami pening kepala, selain mempunyai sejarah penyakit kronik.
Jelasnya, pemeriksaan di lokasi kejadian serta ke atas tubuh badan mangsa tidak menemukan sebarang kesan kecederaan luaran, unsur jenayah atau tanda-tanda pergelutan.
“Pemeriksaan yang dijalankan oleh pegawai perubatan forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) mendapati tiada sebarang unsur jenayah atau kecederaan yang mencurigakan pada tubuh badan si mati.
“Punca kematian dipercayai berkaitan komplikasi penyakit berkaitan paru-paru. Sehubungan itu, kes diklasifikasikan bawah mati mengejut (SDR) kerana tiada unsur jenayah ditemukan hasil siasatan polis dan pemeriksaan forensik,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu serta menghormati privasi keluarga dan pihak berkaitan. – MalaysiaGazette
















