JOHOR BAHRU – Sebanyak RM1.139 bilion diperuntukkan untuk tujuh projek pembangunan dan peningkatan fasiliti di Sultanah Aminah (HSA) di sini.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, projek-projek berkenaan sedang dilaksanakan melibatkan kerja-kerja baik pulih dan naik taraf sistem elektrikal dan mekanikal.
Jelas beliau, ini membabitkan dewan pembedahan serta pembinaan Pusat Rawatan Harian (ACC) yang merangkumi parkir bertingkat.
“Kita perlu mencari jalan yang terbaik untuk membaiki dan menaik taraf sistem elektrikal dan mekanikal. Buat ketika ini, semua projek ini berjalan, cuma apabila naik taraf pembangunan yang membabitkan bangunan merah (induk atau lama), ada cabarannya.
“Kita mahu memastikan perkhidmatan kepada masyarakat dalam servis di hospital ini dapat diteruskan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke HSA di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Mohtar Pungut @ Ahmad.
Beliau berkata, Kementerian Ekonomi bersetuju dengan pembinaan tiga dewan pembedahan (OT) yang baharu bagi menampung keperluan ketika projek pembanguan dan naik taraf dilaksanakan.
“Cabarannya adalah untuk kerja-kerja yang dibuat di 12 dewan pembedahan dalam HSA kerana masih perlu beroperasi. Namun, apabila kerja ini hendak dimulakan, ia sebenarnya perlu ditutup secara total,” ujarnya.
Bagi projek yang akan memberi impak besar iaitu ACC yang membabitkan kos RM870 juta, beliau berkata, projek tersebut masih di peringkat penyediaan Surat Setuju Terima (SST) yang dijangka siap Februari tahun depan.

Ditanya mengenai perancangan tempoh semua projek itu disiapkan, Akmal Nasrullah berkata, semuanya berjalan secara berperingkat-peringkat dan tempohnya berbeza bagi setiap projek memandangkan cabaran utamanya adalah memastikan pelaksanaan projek tidak mengganggu operasi perkhidmatan hospital.
“Butirannya (projek) berbeza-beza dan sudah pasti cabaran untuk kita memastikan bahawa pelaksanaan (projek) ini tidak memberi gangguan yang sangat ketara kepada perkhidmatan yang sedia ada.
“Contohnya, bila ada sesuatu wad itu terpaksa ditutup, mereka akan memindahkan wad itu kepada bangunan sementara. Itu boleh dibuat. Tetapi, untuk OT, mereka tidak boleh pindah ke mana-mana bangunan lain kecuali ke OT itu sendiri kerana keperluan kelengkapan mereka saling berkait.
“Ini berbeza pula dengan naik taraf contohnya naik taraf lif yang mana kalau untuk penukaran lif, perkara itu lebih nampak ‘straight forward’.
“Sebab itu, kita perlu menyusun dengan baik supaya tidak berlaku gangguan yang sangat ketara,” katanya.
Terdahulu, Akmal Nasrullah dalam rangka lawatan kerja ke negeri ini membuat lawatan ke HSA bagi meneliti status pelaksanaan projek pembangunan di hospital berkenaan.
Beliau turut mengadakan lawatan ke Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Negeri Johor, Klinik Kesihatan Ibu dan Anak, Majidee dan dan tapak projek pembinaan PRR Larkin.
Dalam perkembangan keseluruhan projek pembangunan infrastruktur di Johor, Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, sejak 2000, terdapat 613 projek pembangunan yang dilaksanakan di Johor membabitkan nilai RM56.12 bilion.
Katanya, ini termasuk 154 projek baharu dan juga 459 projek sambungan dengan siling untuk dibelanjakan di Johor adalah sebanyak RM4.95 bilion pada tahun ini.
“Pencapaian perbelanjaan di Johor telah melebihi separuh iaitu 50.51 peratus sehingga Julai iaitu RM2.5 bilion,” katanya.- MalaysiaGazette
















