LONDON – James Trafford muncul penjaga gol paling mahal dalam sejarah Britain selepas melengkapkan perpindahan Leeds United dari Manchester City dengan kontrak lima tahun.
Media Britain melaporkan urus niaga itu bernilai sekitar 40 juta pound (RM220 juta) tidak termasuk bayaran bonus buat pemain berusia 23 tahun walaupun Leeds tidak mendedahkan nilai perpindahan tersebut.
Trafford yang tersenarai dalam skuad England kendalian Thomas Tuchel ke Piala Dunia tahun ini membuat 17 penampilan bersama Manchester City dalam semua pertandingan musim lalu.
Trafford adalah produk akademi Manchester City sebelum menimba pengalaman secara pinjaman bersama Accrington Stanley dan Bolton Wanderers.
Dia kemudian menyertai Burnley secara tetap pada tahun 2023 sebelum kembali ke Manchester City pada Julai tahun lalu.
Namun Trafford sukar mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama apabila Gianluigi Donnarumma menjadi pilihan utama pengendali Pep Guardiola.
Trafford menjadi pemain ketiga dibawa masuk secara tetap oleh pengendali Daniel Farke musim panas ini selepas Harry Wilson dan Tarik Muharemovic.
Leeds, yang menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga ke-14 musim lalu, akan memulakan kempen baharu dengan menentang Nottingham Forest pada 22 Ogos ini. – Agensi
















