Gambar hiasan. Foto MALAYSIAGAZETTE.

JOHOR BAHRU – Seorang peniaga dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada tuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 103,780 gram (g) di daerah ini enam tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Avinder Singh Gill Ranjit Singh membuat keputusan tersebut setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Syed Faisal Yahya, 70, di akhir pendakwaan.

Dalam keputusannya, tiada keterangan yang mencukupi untuk menunjukkan Syed Faisal yang juga mempunyai milikan, kawalan atau pengetahuan terhadap dadah yang dirampas.

“Mahkamah turut mengambil kira bahawa tertuduh ditahan di lokasi yang berasingan, dan tiada keterangan yang mencukupi untuk mengaitkannya dengan kawalan atau pemilikan dadah tersebut.

“Justeru, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan satu kes prima facie terhadap tertuduh,” katanya dalam keputusannya.

Mengikut fakta kes, Syed Faisal ditahan bersama-sama anak perempuannya, Sharifah Fadilah dan suami, Razali Othman pada 1 Oktober 2020 berkaitan kes mengedar dadah.

Serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor merampas sebuah beg mengandungi enam bungkusan dadah disyaki jenis kanabis dalam stor sebuah rumah yang didiami pasangan suami isteri tersebut di Jalan Belibis, Taman Perling, di sini.

Susulan rampasan 103,780 gram berat bersih dadah jenis kanabis itu, polis menahan peniaga ikan dan kedai makan itu ditahan pada hari yang sama di Gelang Patah di sini bersama-sama anggota keluarga lain di alamat yang berbeza.

Pendakwaan terhadap ketiga-tiga tertuduh dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kes mula dibicarakan pada tahun 2022 itu menyaksikan seramai sembilan orang saksi pendakwaan dipanggil pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Umar Faiz Abdul Kohar.

Tertuduh pertama, Razali meninggal dunia semasa dalam tahanan reman dan prosiding terhadapnya tidak diteruskan.

Sementara itu, Sharifah Fadilah diperintahkan membela diri di bawah Seksyen 180 Kanun Tatacara Jenayah setelah mahkamah berpendapat pihak pendakwaan telah berjaya mewujudkan kes prima facie terhadapnya.

Sementara itu, Syed Faisal yang diwakili peguam Lydiana Mansor dilepas dan dibebaskan pada akhir pendakwaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast