Seorang tekong warga tempatan berusia 42 tahun bersama seorang kru warga Indonesia antara yang ditahan Maritim Malaysia, pada Jumaat.

KUALA SELANGOR – Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas A ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kerana dikesan melanggar syarat sah lesen dengan menggunakan pukat tunda bagi menjalankan aktiviti penangkapan ikan di perairan Kuala Selangor, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.55 pagi itu, vesel terbabit ditahan pada kedudukan kira-kira 0.5 batu nautika selatan Kuala Selangor ketika sedang menangkap ikan.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penahanan dilakukan bot Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan menerusi Op Ehsan, Op Tiris dan Op Khas Tanjung.

“Pemeriksaan awal mendapati vesel berkenaan dikendalikan seorang tekong warga tempatan berusia 42 tahun bersama seorang kru warga Indonesia berusia 30 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kru warga asing terbabit gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah serta permit kerja atau surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas A ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kerana dikesan melanggar syarat sah lesen dengan menggunakan pukat tunda bagi menjalankan aktiviti penangkapan ikan di perairan Kuala Selangor, awal pagi tadi.

Abdul Muhaimin berkata, pihaknya juga mendapati vesel berkenaan melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan pukat tunda bagi menjalankan aktiviti penangkapan ikan, sekali gus melanggar syarat sah lesen yang ditetapkan.

“Selain kesalahan berkaitan kaedah penangkapan ikan, pihak berkuasa turut menyiasat dakwaan penggajian kru warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Vesel terbabit bersama tekong dan kru yang ditahan kemudian dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurut Abdul Muhaimin, kes kini disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dengan menggunakan pukat tunda serta menggajikan kru warga asing tanpa kebenaran.

“Kru warga Indonesia terbabit turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya lagi, Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang di perairan negara, khususnya di perairan Selangor, bagi memastikan keselamatan, ketenteraman serta kelestarian sumber marin negara terus terpelihara.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah, insiden kecemasan atau sebarang kegiatan mencurigakan di laut boleh menyalurkannya melalui Perkhidmatan Panggilan Kecemasan Next Generation Emergency Service (NG999), Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-6606652 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia di talian 03-8995 7820,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast