KUALA LUMPUR – Lebih 10 laporan polis dan aduan kepada pihak berkuasa didakwa sudah dibuat, namun tiga pempengaruh yang juga usahawan masih berdepan individu yang sama, serangan yang sama dan persoalan yang sama, sampai bila mereka perlu terus bertahan?
Bagi Olivia Lopez, Sailajah Selveekam dan Anita Lopez, apa yang berlaku bukan lagi sekadar kecaman di media sosial, ganggu gugat perniagaan selain didakwa sudah memasuki kehidupan peribadi apabila pasangan, ibu bapa dan anak-anak turut menjadi sasaran.
Mereka kini merayu Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil supaya campur tangan dan melihat semula keberkesanan tindakan terhadap pembuli siber, terutama pelaku berulang yang didakwa boleh kembali dengan akaun baharu selepas akaun terdahulu disekat.
“Kami sudah membuat laporan polis dan aduan kepada MCMC berkali-kali. Sampai bila kami perlu bertahan? Pelaku pula sasar perniagaan dan tuduh cerca kami dengan pelbagai dakwaan kononnya produk kami itu barang ‘scam’.
“Berapa banyak lagi laporan yang perlu dibuat sebelum perkara ini benar-benar berhenti?,” soal mereka kepada media hari ini.
Persoalan itu timbul ketika Malaysia sudah mempunyai peruntukan khusus menerusi Seksyen 507B hingga 507G Kanun Keseksaan bagi menangani perbuatan termasuk komunikasi mengancam, menghina atau mencela yang menyebabkan gangguan, ketakutan atau kebimbangan.
Namun bagi ketiga-tiga wanita itu, ukuran sebenar bukan sekadar berapa banyak peruntukan tersedia tetapi sejauh mana mangsa dapat merasakan perlindungannya apabila gangguan dilakukan secara berulang.
Mereka menegaskan tindakan bersuara bukan hanya mengenai pengalaman sendiri, sebaliknya percaya terdapat ramai lagi mangsa buli siber di luar sana yang mungkin memilih untuk berdiam diri kerana takut, malu atau tidak mempunyai kekuatan serta saluran untuk tampil mendapatkan pembelaan.

Menurut mereka, jika individu yang mempunyai pengikut ramai dan kemampuan mendapatkan bantuan juga berdepan kesukaran menghentikan gangguan, keadaan mungkin jauh lebih mencabar bagi mangsa biasa yang tidak mempunyai platform untuk membuat suara mereka didengari.
Olivia yang merupakan pakar hipnoterapi klinikal bertauliah dan pengasas Bhairava Production mendakwa sudah lebih lima tahun melalui episod berkenaan.
Apa yang bermula dengan tuduhan sebagai penipu kini didakwa semakin serius apabila bukan sahaja dirinya menjadi sasaran, malah anak-anaknya berdepan gangguan seksual dalam talian.
Menurut Olivia, kandungan dan kata-kata berunsur seksual terhadap anak-anaknya terus disebarkan sehingga keadaan itu tidak lagi boleh dianggap sekadar buli atau penghinaan di media sosial.
Tekanan berpanjangan tersebut turut menyebabkan seorang anaknya mengalami gangguan emosi serius sehingga memerlukan rawatan psikiatri.
“Saya diam pun mereka tidak berhenti. Mereka pergi kepada anak-anak dan orang di sekeliling saya. Ini penyeksaan mental kepada kami sekeluarga,” katanya.
Sailajah pula mendakwa menjadi sasaran sejak November tahun lalu selepas dituduh sebagai penipu di TikTok.
Pengasas Sailajah Empire Sdn Bhd dan Total Beauty For You Sdn Bhd itu berkata, gambar peribadinya kemudian digunakan untuk membuat tuduhan berunsur seksual sebelum suami, ibu berusia 63 tahun serta dua anaknya yang masih kecil turut diseret sehingga beliau sendiri mendapatkan rawatan psikiatri.
Kesan serupa didakwa dialami Anita Lopez, usahawan dan Pengarah Bhairava Production apabila gangguan selama beberapa tahun hampir menggugat rumah tangganya serta menjejaskan pendidikan anak.
Mereka turut mendakwa tindakan menyekat akaun semata-mata tidak mencukupi kerana pelaku boleh membuka akaun baharu dan meneruskan serangan.
Setelah bertahun-tahun membuat laporan dan aduan, ketiga-tiganya kini bercadang mengambil tindakan saman terhadap individu yang didakwa terbabit.
Namun mereka berharap Fahmi melihat isu itu melangkaui kes mereka kerana di sebalik setiap mangsa yang berani tampil, mungkin masih ramai lagi memilih berdiam diri dan menanggung kesannya sendirian. -MalaysiaGazette
















