Zahid parti
Gulam Muszaffar Gulam Mustakim

KUALA LUMPUR – DAP perlu menjelaskan pendiriannya mengenai demokrasi dan pelantikan dalam pentadbiran Kuala Lumpur susulan kritikan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng terhadap laporan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkaitan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar berkata, pendirian Lip Eng yang terus mempersoalkan laporan berkenaan menimbulkan persoalan kerana kajian itu diminta sendiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh, yang juga pemimpin DAP.

Menurutnya, laporan tersebut tidak melihat keperluan untuk melaksanakan pilihan raya tempatan bagi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Lim Lip Eng masih tidak berpuas hati dan mempertikaikan laporan UIAM yang diminta oleh Menteri Wilayah Persekutuan sendiri berhubung Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

“Kalau soal demokrasi hendak diperjuangkan, pendirian itu perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan bukan hanya pada isu tertentu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Khamis lalu, Lip Eng mendakwa terdapat beberapa percanggahan dalam kajian UIAM yang menolak pelaksanaan pilihan raya tempatan bagi DBKL apabila menyarankan Majlis Menteri Wilayah menggubal undang-undang kecil dan peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Lip Eng mendakwa, laporan UIAM itu menyatakan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 tidak perlu dipinda pada halaman 321, manakala halaman 326 pula, laporan menyatakan ahli parlimen tidak diberikan kuasa pentadbiran secara langsung.

Dalam pada itu, Gulam kemudian mempersoalkan pendirian DAP berhubung pelantikan Ahli Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP).

Beliau mendakwa, terdapat pelantikan dalam MPPWP yang dibuat tanpa pemilihan, namun pada masa sama DAP mahu isu pelantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Ahli Lembaga Penasihat DBKL diberikan ruang kepada proses pemilihan.

“Bagi MPPWP boleh pula dilantik tanpa pemilihan, tetapi apabila menyentuh Datuk Bandar dan Ahli Lembaga Penasihat DBKL, pemilihan oleh warga Kuala Lumpur pula ditekankan.

“Ini menimbulkan persoalan mengenai pendirian sebenar DAP dalam soal demokrasi,” katanya.

Selain itu, Gulam mencabar Lip Eng supaya mengemukakan cadangan kepada Menteri Wilayah Persekutuan untuk memansuhkan MPPWP jika benar-benar mahu memperjuangkan prinsip demokrasi dan mengelakkan pembaziran wang rakyat.

“Jika benar mahu memperjuangkan demokrasi, cadangkan supaya MPPWP dimansuhkan dan peruntukan elaun kepada anggota yang tidak berfungsi dapat dihentikan.

“Ini lebih wajar dibincangkan daripada hanya mempertikaikan kaedah pelantikan Datuk Bandar atau Ahli Lembaga Penasihat DBKL,” katanya.

Beliau secara sinis mencabar Lip Eng untuk membawa perkara itu ke Konvensyen DAP dan mencadangkan dirinya menggantikan Hannah sebagai Menteri Wilayah Persekutuan sekiranya benar-benar yakin dengan pendiriannya.

“Lip Eng perlu jelaskan mengapa beliau mempertikaikan perkara yang datang daripada kementerian yang diterajui pemimpin partinya sendiri.

“Kalau benar tidak bersetuju, bawa perkara itu ke Konvensyen DAP. Jangan sekadar bercakap di luar,” katanya.

Gulam turut mengaitkan perbezaan pandangan itu dengan persaingan dalaman DAP antara kelompok tertentu dalam kepimpinan parti.

“Isu DBKL sepatutnya dibincangkan berdasarkan kepentingan pentadbiran Kuala Lumpur dan bukan dijadikan ruang perebutan pengaruh politik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast