Nurul Izzah Anwar

KUALA LUMPUR – Nurul Izzah Anwar kekal sebagai Timbalan Presiden PKR selepas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu memutuskan tidak menerima peletakan jawatannya.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira permintaan Nurul Izzah yang memerlukan ruang untuk menguruskan beberapa perkara termasuk menyiapkan dan meneruskan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD).

Menurutnya, parti menghormati permintaan berkenaan dan bersetuju memberikan masa yang diperlukan kepada bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

“Dalam mesyuarat MPP tempoh hari, MPP telah memutuskan kita tidak menerima peletakan jawatan beliau untuk mengundur diri kerana beliau meminta masa untuk, seperti kenyataan beliau sendiri, antara lain mengurus diri dan juga menyiapkan, meneruskan pendidikan PhD.

“Jadi kita beri beliau masa,” katanya kepada media selepas merasmikan Kempen Internet Selamat MCMC bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), di sini hari ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berucap pada Konvensyen Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Internet Selamat 2026 Peringkat Kuala Lumpur di Imbi Convention Hall Cheras. Foto MOHD ADZLAN, 08 OGOS 2026.

Fahmi berkata, sepanjang tempoh Nurul Izzah diberikan ruang berkenaan, tugas dan fungsi Timbalan Presiden akan digalas Naib Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Bagaimanapun, katanya, susunan berkenaan tidak akan menjejaskan perjalanan mahupun gerak kerja parti yang akan diteruskan seperti biasa.

“Kerja tetap berjalan. Nurul Izzah kekal sebagai anggota parti dan akan terus membantu parti dalam perjuangan, tidak menjadi masalah,” ujarnya

Menurut Fahmi, keputusan itu membolehkan Nurul Izzah memberikan tumpuan kepada perkara yang perlu diselesaikannya tanpa menjejaskan kesinambungan tugas kepimpinan parti.

Khamis lalu, Nurul Izzah menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan Timbalan Presiden PKR.

Bagaimanapun, selepas mendengar pandangannya serta barisan kepimpinan, MPP memutuskan tidak menerima peletakan jawatan berkenaan.

Sebaliknya, MPP bersetuju memberikan cuti sementara kepada Nurul Izzah yang akan bermula selepas Kongres Nasional Keadilan 2026 sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.

Kongres Nasional Keadilan 2026 dijadual berlangsung pada 15 dan 16 Ogos ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka.

Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita pula dijadual berlangsung sehari lebih awal.

Ini bermakna Nurul Izzah masih kekal sebagai Timbalan Presiden PKR menjelang Kongres Nasional berkenaan sebelum memulakan cuti sementara selepas program itu berakhir.

Sepanjang tempoh cutinya, fungsi dan tanggungjawab Timbalan Presiden akan digalas Saifuddin bagi memastikan urusan serta gerak kerja kepimpinan parti diteruskan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast