Ir. Razali Kassim

KUANTAN – Kerajaan Pahang sedang meneliti cadangan mewujudkan zon penampan bagi mengawal pokok berisiko di sepanjang jalan, namun tindakan itu tidak bermakna semua pokok boleh ditebang sewenang-wenangnya.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, pendekatan baharu itu perlu mencari keseimbangan antara keselamatan pengguna jalan raya dengan kelestarian alam sekitar.

Antara cadangan yang sedang dikaji ialah menetapkan had ketinggian pokok berdasarkan jaraknya dari bahu jalan serta keadaan sesuatu kawasan.

“Kalau pokok itu berada dalam zon penampan dan melebihi had ketinggian yang ditetapkan, kita boleh ambil tindakan. Kalau perlu cantas, kita cantas. Kalau benar-benar berbahaya dan perlu ditebang, kita tebang.

“Tetapi kita tidak boleh ambil mudah dan terus tebang pokok sesuka hati. Kita kena lihat juga ekosistem, keadaan tanah dan alam sekitar.

“Saya bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan telah mengadakan perbincangan dan mengarahkan pihak PBT, JKR, Pejabat Hutan Negeri Dan pihak pejabat undang-undang negeri Untuk mengkaji semula kuasa dan akta pihak berkuasa yang ada pada masa ini,” katanya ketika mengulas langkah susulan kerajaan negeri selepas beberapa tragedi pokok tumbang di daerah berkenaan.

Razali berkata, cadangan zon penampan itu penting bagi memastikan penilaian terhadap pokok berisiko dapat dibuat lebih awal, bukannya hanya selepas pokok tumbang atau berlaku kemalangan.

Katanya penilaian perlu mengambil kira faktor seperti jarak pokok dari jalan, ketinggian, keadaan fizikal pokok, struktur tanah, bentuk muka bumi serta risiko terhadap pengguna.

“Zon penampan dicadangkan bagi menetapkan had ketinggian maksimum pokok berdasarkan keadaan tapak dan jarak daripada jalan raya bagi memastikan risiko tumbang serta impak terhadap pengguna jalan raya berada pada tahap minimum.

“Contohnya kalau pokok terlalu dekat dengan jalan, kita perlu tentukan berapa tinggi ia boleh berada dalam kawasan itu. Kalau sudah melebihi had yang ditetapkan, tindakan perlu diambil. Ini yang kita sedang teliti supaya ada satu kaedah yang lebih jelas,” katanya.

Razali menegaskan, tindakan menebang pokok secara besar-besaran tanpa penilaian dan kawalan juga boleh membawa kesan buruk terhadap alam sekitar, khususnya di kawasan berbukit dan berhampiran hutan.

Menurutnya, akar pokok memainkan peranan dalam membantu mengikat tanah dan mengekalkan kestabilan kawasan, sekali gus mengurangkan risiko hakisan.

“Kalau kita tebang semua pokok tanpa penilaian, akar yang selama ini membantu memegang tanah juga hilang. Ini boleh menyebabkan hakisan dan masalah lain.

“Jadi kita perlu cari jalan tengah. Keselamatan pengguna jalan raya penting, tetapi alam sekitar juga tidak boleh diketepikan,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu menjadi lebih mencabar apabila jalan raya berada berhampiran atau melalui kawasan hutan simpan kerana ia membabitkan bidang kuasa serta peruntukan undang-undang berbeza.

Sehubungan itu, Razali berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan agensi berkaitan untuk duduk semeja bagi mengkaji semula kuasa dan peruntukan undang-undang sedia ada berkaitan pengurusan pokok berisiko di negeri ini.

Antara agensi terbabit ialah Jabatan Kerja Raya (JKR), pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Perhutanan Negeri, Pejabat Undang-Undang Negeri serta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Isu ini melibatkan banyak agensi. Ada jalan di bawah JKR, ada di bawah PBT dan ada pula yang melalui kawasan hutan.

“Kalau kawasan itu hutan simpan, Jabatan Perhutanan juga mempunyai kuasa. Sebab itu semua pihak perlu duduk bersama dan tentukan penilaian sewarjanya, siapa yang boleh mengambil tindakan dan apakah punca kuasanya,” katanya.

Menurutnya, penelitian itu turut penting kerana terdapat perkara yang mungkin membabitkan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan memerlukan penyelarasan di peringkat berkenaan.

Beliau berkata, cadangan zon penampan itu akan diperhalusi sebelum dibawa ke Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) minggu hadapan untuk mendapatkan keputusan lanjut.

Razali berkata, kerajaan negeri mengambil serius perkara itu dan tidak mahu isu bidang kuasa menjadi penghalang kepada tindakan pencegahan.

“Kerajaan negeri ambil serius perkara ini. Kita mahu ada satu mekanisme yang jelas supaya kita tidak hanya bertindak selepas pokok tumbang.

“Pada masa sama, kita tidak mahu menyelesaikan masalah keselamatan dengan mencetuskan masalah alam sekitar pula,” katanya.

Cadangan itu susulan tragedi pokok tumbang di Jalan Genting Highlands-Janda Baik, Bentong yang mengorbankan empat nyawa Isnin lalu serta kejadian terbaharu pokok tumbang di Kilometer 53.35 arah Barat Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK).

Kejadian pokok tumbang dilaporkan kira-kira jam 2.38 petang semalam, bagaimanapun tidak mengorbankan sebarang nyawa namun ia signal jelas kejadian pokok tumbang semakin menjadi-jadi.

Menurut AFA Prime, kejadian itu pada awalnya menyebabkan lorong kecemasan, lorong perlahan dan lorong laju terhalang, sekali gus mengakibatkan kesesakan trafik.

Pasukan peronda tiba di lokasi sejurus menerima maklumat dan menjalankan kerja awal pengalihan pokok dengan bantuan sebuah lori.

Kesesakan memuncak sekitar jam 3.15 petang sebelum beransur pulih, manakala lorong kecemasan yang ditutup sementara bagi kerja pembersihan dibuka semula kira-kira jam 4.40 petang.

Meskipun kenderaan atau orang awam dilaporkan terjejas dalam kejadian itu, namun guardrail di lokasi terbabit dilaporkan mengalami kerosakan akibat insiden tersebut.

Kejadian itu turut dirakam kamera papan pemuka sebuah kenderaan dan tular di media sosial, memaparkan kenderaan berkenaan terpaksa mengelak ke lorong kecemasan selepas sebahagian pokok tumbang merentangi laluan.

Bagi Razali, kejadian terbaharu itu sekali lagi mengingatkan semua pihak bahawa pengurusan pokok berisiko tidak boleh lagi dilihat sebagai perkara sampingan tetapi perlu diselesaikan segera. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: Lagi kejadian pokok tumbang di Bentong

Kerajaan Pahang tidak akan berdiam diri isu pokok tumbang

Empat maut pacuan empat roda dihempap pokok di Bentong

Empat jenazah mangsa dihempap pokok dituntut keluarga

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast