Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa Peguam Negara dan agensi penguatkuasaan supaya mengambil tindakan tegas dan tanpa pilih kasih terhadap mana-mana individu disyaki terbabit dalam kesalahan jenayah, rasuah atau mempunyai kekayaan luar biasa.

Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, mana-mana kes yang selesai disiasat dan mempunyai bukti mencukupi untuk dibawa ke mahkamah tidak seharusnya berakhir dengan keputusan Tiada Tindakan Lanjut (NFA) tanpa penjelasan yang munasabah dan jelas.

Menurutnya, sekiranya bukti yang diperoleh hasil siasatan adalah mencukupi, proses pendakwaan perlu diteruskan supaya mahkamah dapat menentukan sama ada seseorang individu itu bersalah atau sebaliknya.

“Putra menggesa Peguam Negara supaya mengambil tindakan pendakwaan dengan segera terhadap mana-mana individu yang telah selesai disiasat dan mempunyai bukti yang mencukupi untuk didakwa.

“Kes-kes yang mempunyai asas dan bukti kukuh tidak seharusnya berakhir dengan keputusan NFA tanpa alasan yang jelas,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Ibrahim berkata, tindakan undang-undang sewajarnya disegerakan, termasuk sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) bagi memastikan individu yang berdepan pertuduhan serius dapat melalui proses perundangan secara telus dan terbuka.

Jelas Ibrahim, kelewatan mengambil tindakan terhadap kes yang mempunyai asas kukuh berpotensi mencetuskan persepsi awam bahawa proses undang-undang sengaja dilengah-lengahkan atas kepentingan tertentu.

“Sekiranya terdapat bukti yang mencukupi, biarlah proses kehakiman berjalan dan mahkamah yang menentukan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak,” katanya.

Dalam pada itu, Ibrahim juga membangkitkan isu individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan sesuatu kes tetapi kemudiannya tampil atau digunakan sebagai saksi pihak pendakwaan.

Menurutnya, status sebagai saksi tidak seharusnya secara automatik memberikan kekebalan daripada sebarang tindakan undang-undang sekiranya terdapat bukti yang menunjukkan penglibatan mereka dalam sesuatu kesalahan.

“Sekiranya terdapat bukti yang mencukupi mengenai penglibatan mereka dalam sebarang kesalahan, tindakan undang-undang hendaklah dipertimbangkan mengikut undang-undang dan proses yang sewajarnya,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, sebarang tindakan perlu berasaskan bukti dan proses perundangan yang sah, bukannya semata-mata berdasarkan dakwaan atau persepsi.

“Putra menggesa SPRM dan LHDN menjalankan siasatan secara profesional terhadap mana-mana pemimpin politik, pegawai kerajaan, bekas pegawai kerajaan atau individu berkepentingan yang mempunyai pemilikan aset atau kekayaan luar biasa,” katanya.

Ibrahim turut menegaskan, siasatan tidak boleh dipengaruhi kedudukan, pangkat, pengaruh politik atau latar belakang mana-mana individu.

“Siasatan hendaklah berasaskan bukti dan dilaksanakan tanpa mengira kedudukan, pangkat, pengaruh politik atau latar belakang individu terbabit,” katanya.

“Tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara konsisten terhadap semua pihak bagi memastikan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang benar-benar dipelihara,” katanya.

Ibrahim turut mengingatkan Peguam Negara, SPRM dan LHDN agar memastikan tindakan yang diambil adalah tegas, bebas dan telus serta tidak dipengaruhi kepentingan politik.

“Peguam Negara, SPRM dan LHDN mesti bertindak secara tegas, bebas, telus dan tanpa pilih kasih. Tiada sesiapa harus kebal daripada undang-undang.

“Prinsip kedaulatan undang-undang mesti ditegakkan tanpa kompromi dan tanpa campur tangan politik. Sekiranya terdapat bukti, dakwa. Jika didakwa, biarlah mahkamah menentukan.

“Undang-undang mesti ditegakkan secara adil kepada semua tanpa mengira siapa mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast