AMPANG – Polis meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang dari kediamannya di Pangsapuri Sri Mayang, Pandan Indah Komersil Park, di sini, pada Jumaat.
Remaja berkenaan dikenali sebagai Dhia Zahraaxavieta Neelopher Harisman, berusia 14 tahun lima bulan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner (ACP) Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan remaja itu pada 7 Ogos kira-kira jam 8.34 malam.
Menurutnya, kehilangan remaja berkenaan disedari keluarganya pada 2 Ogos lalu kira-kira jam 10 malam selepas mendapati mangsa tiada di rumah.
“Usaha mencari mangsa yang dilakukan pihak keluarga bagaimanapun gagal sebelum laporan polis dibuat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut Khairul Anuar, berdasarkan maklumat diterima, remaja berkenaan kali terakhir dilihat memakai baju berwarna biru dan seluar kelabu.
“Dhia mempunyai ketinggian kira-kira 157 sentimeter, berat 40 kilogram, berkulit putih sawo matang serta mempunyai rambut panjang berwarna perang sehingga paras separuh badan.
“Mangsa juga dilaporkan tidak memakai cermin mata,” katanya.
Beliau juga berkata, lokasi terakhir remaja itu dikesan di Pangsapuri Sri Mayang, Pandan Indah Komersil Park, Ampang.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan keberadaan remaja terbabit diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di talian 03-42897222.
“Maklumat juga boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat, Sarjan Azamil Makmor di talian 019-6004104,” katanya.
Katanya lagi, polis menasihatkan orang awam khususnya ibu bapa dan penjaga, supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak di bawah jagaan masing-masing serta tidak membenarkan mereka keluar bersendirian.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kehilangan remaja berkenaan juga diminta menghubungi polis atau talian kecemasan MERS 999 dengan segera,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

















Eh wartawan. Kau mabuk apa.. Tulis “berkulit putih sawo matang”.. Kau copy paste apa benda hanat..