Kira-kira 10,000 penduduk dari empat kampung sekitar Kempas, Johor Bahru diancam pencemaran dan risiko letupan saluran paip gas bawah tanah berpunca daripada aktiviti pembakaran barangan lusuh dari sebuah premis

JOHOR BAHRU – Kira-kira 10,000 penduduk dari empat kampung sekitar Kempas di sini, diancam pencemaran dan risiko letupan saluran paip gas bawah tanah berpunca daripada aktiviti pembakaran barangan lusuh dari sebuah premis yang didakwa beroperasi secara haram.

Ketua Kampung Sri Aman, Rafizal Ahmad Razi mendakwa, saluran paip gas bawah tanah berkenaan terletak kira-kira 12 meter dari lokasi pembakaran barang lusuh tersebut sekali gus mendedahkan bahaya kepada penduduk setempat.

“Situasi ini jelas membimbangkan penduduk sekitar yang rata-ratanya bimbang berlakunya kejadian letupan seperti kebakaran paip gas di Prima Heights, Puchong, Selangor dua tahun lalu.

Rafizal Ahmad Razi

“Aktiviti ini sudah berlarutan sejak lebih setahun dan semakin kerap berlaku dalam tempoh seminggu ini selepas ramai penduduk membuat aduan kerana ada kepulan asap tebal dari tapak ini bermula 7 petang.

“Setiap hari, saya menerima aduan penduduk yang bimbang kerana ia bukan sahaja menjejaskan kesihatan tetapi membahayakan kawasan sekitar kerana ada saluran paip gas bawah tanah yang berisiko meletup jika pembakaran itu tidak dikawal,” katanya ketika ditemui selepas penduduk kampung menggempur tapak itu hari ini.

Dia berkata, beberapa aduan sudah dibuat kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS), SWCorp, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan polis bagi memastikan tindakan diambil.

Rafizal Ahmad berbincang dengan penduduk tempatan berkenaan pencemaran tersebut yang sudah setahun berlarutan.

Dakwanya, pihak-pihak dimaklumkan ada hadir membuat pemeriksaan seperti SWCorp yang meminta penyewa premis itu untuk mengosongkan tapak berkenaan.

Katanya, disebabkan itu penyewa terbabit terpaksa membakar barang-barang lusuh itu memandangkan barang-barang berkenaan juga tidak boleh dijual.

Seorang penduduk, Khairul Amin Mohamadiah, 35, berkata, keluarganya diselubungi kebimbangan memandangkan kediaman mereka hanya terletak 50 meter dari tapak pembakaran itu.

Lebih membimbangkan, katanya, ancaman bau busuk disebabkan pembakaran barang kuprum dan getah serta terdapat sisa pemprosesan ayam yang tidak diurus dengan betul sehingga mengundang kehadiran lalat.

Khairul Amin Mohamadiah

“Memang risau sangat kalau terjadi apa-apa pada saluran gas bawah tanah dan baru hari ini juga kita tahu ada penternakan ayam yang dikhuatiri tidak memiliki lesen pemprosesan sembelihan sah.

“Kita juga tidak tahu apa akan berlaku pada masa depan seperti jika saluran paip gas ini meletup sebab kalau betul berlaku, banyak kawasan terjejas malah keselamatan kami juga terancam,” katanya.

Bagi Noraini Abu Bakar, 32, aktiviti pembakaran itu jelas mengganggu kehidupan penduduk sekitar memandangkan ia semakin kerap berlaku sejak kebelakangan ini.

“Kita takut sebab setiap hari lalu jalan raya ini dan tidak mahu kejadian di Puchong itu berlaku di sini.

“Saya berharap agar isu ini diatasi segera kerana boleh mengancam keselamatan bukan sahaja penduduk setempat tetapi mereka yang melalui Jalan Kempas Lama – Seelong ini,” katanya.

Noraini Abu Bakar

Serbuan hari ini turut disertai polis dan JAS yang difahamkan ada mengeluarkan notis saman kepada penyewa premis.

Tapak itu dipercayai dimiliki individu warga Singapura yang disewakan kepada penyewa tempatan yang menjalankan perniagaan barang kitar semula. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast