Mohd Asri Mat Daud

KUALA LUMPUR – Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan (Pondok Madani) berhubung kenyataan Preisden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak mewakili pendirian semua pondok yang ada di Kelantan.

Ketua Penerangan Pas Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, Pondok Madani yang baru sahaja ditubuhkan tidak seharusnya bertindak membuat kenyataan tanpa memahami latar politik semasa dan memberikan pandangan secara tersasar.

Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan itu berkata, polemik tekanan politik terhadap Melayu Islam bukan benda baharu.

Ujarnya, pendirian pimpinan DAP khasnya terhadap isu dan dasar negara yang menyentuh kepentingan Melayu dan Islam serta Raja-Raja Melayu yang dinaungi oleh Perlembagaan Persekutuan telah cuba disentuh oleh DAP secara tidak wajar sebagaimana disebut Abdul Hadi secara panjang lebar melalui bukti yang boleh difahami seluruh rakyat Malaysia tentang peristiwa yang berlaku.

Tambah beliau, kesemua yang disebutkan perlu dihadami secara tabayyun oleh Pengerusi Pondok Madani ketika mengaitkan kenyataannya dengan penulisan Abdul Hadi berkaitan agenda DAP.

Ujarnya, dalam situasi terkini, ketika rakyat negeri Sabah, Johor dan Negeri Sembilan telah menunjukkan kesatuan menolak DAP dan Pakatan Harapan (PH), Pondok Madani tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan yang tersasar jauh daripada bacaan politik semasa.

“Apakah Pondok Madani telah meneliti kesemua hujah dan fakta Tuan Guru Presiden Pas dan memahaminya atau kenyataan yang dibuat hanya kerana tidak berpuas hati dengan pegangan politik beliau?

“Jika begitu ia hanya menimbulkan fitnah dan boleh membawa kekeliruan serta salah faham rakyat terhadap Tuan Guru Presiden Pas dalam perkara ini.

“Apakah Pondok Madani mempunyai agenda tersembunyi sehingga bersungguh-sungguh mengeluarkan kenyataan membela DAP dengan membuat tuduhan tidak berasas kepada penulisan Tuan Guru Presiden Pas yang sarat dengan hujah?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Pondok Madani memandang serius kenyataan Abdul Hadi yang mendakwa DAP memimpin PH untuk meneruskan agenda penjajah bagi menghapuskan kedudukan Melayu dan Islam.

Pengerusinya, Baba Zulkarnain Harun berkata, tuduhan sedemikian merupakan suatu fitnah dan dakwaan yang tidak berasas sekiranya tidak disertakan bukti yang jelas dan sahih.

Sementara itu, Mohd Asri menambah, naratif kenyataan Baba Zulkarnain hanya mencetuskan lagi prasangka tidak baik terhadap Abdul Hadi dan boleh memecahbelahkan kesatuan guru-guru pondok dan masyarakat di negara ini.

Hakikatnya, kata beliau, untuk menyatukan seluruh guru pondok terutama di Kelantan, tiada keperluan menubuhkan persatuan pondok baharu sebagaimana Kesatuan Pondok Madani yang hanya lebih mendatangkan kekhilafan yang berpanjangan.

“Keteguhan kesatuan pondok-pondok yang sedia ada di Kelantan melalui Pusat Pembangunan Pondok Berhad, Jabhah Pondok Kelantan dan Persatuan Guru-Guru Pondok Negeri Kelantan telah pun memadai,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast