Pengarah Pusat Pengajian Ketamadunan Melayu-Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican berucap dalam Forum Kontroversi Tanah Melayu: Menyelesaikan Polemik dan Membina Kesepakatan di Menara Hidayah, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menggubal satu Akta Hasutan Khas bagi menjadikan mana-mana kenyataan yang mempertikaikan asal usul Tanah Melayu, orang Melayu dan sejarah keberadaan Melayu sebagai satu kesalahan jenayah.

Pengarah Pusat Pengajian Ketamadunan Melayu-Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM), Datuk Prof Dr Ahmad Murad Merican berkata, peruntukan sedia ada di bawah Akta Hasutan 1948 tidak lagi memadai untuk menangani peningkatan naratif mempertikaikan kedudukan sejarah orang Melayu.

Menurut beliau, undang-undang khusus diperlukan bagi melindungi fakta sejarah serta identiti pribumi daripada terus menjadi sasaran spekulasi, dakwaan tidak tepat dan naratif yang dianggap boleh menghakis kefahaman masyarakat terhadap sejarah negara.

“Negara perlu menggubal akta khusus memperuntukkan kesalahan sesiapa yang mempersoalkan asal usul orang Melayu,” katanya berucap pada Forum ‘Kontroversi Tanah Melayu: Menyelesaikan Polemik dan Membina Kesepakatan’ di sini, hari ini.

Murad turut menyifatkan perkembangan itu sebagai sebahagian daripada fenomena “Melayu fobia” yang menurutnya perlu ditangani dengan lebih tegas.

“Sebelum ini saya pernah menggesa mana-mana pihak yang mempersoalkan secara khusus asal usul pribumi Melayu dikenakan tindakan menerusi peruntukan undang-undang yang lebih jelas.

“Tindakan tegas diperlukan bagi memastikan perkara berkaitan sejarah dan identiti Melayu tidak diputarbelitkan atas alasan kebebasan bersuara, kebebasan media atau kebebasan akademik,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang menyebarkan apa yang disifatkannya sebagai gambaran salah mengenai asal usul bangsa pribumi.

“Orang Melayu di Malaysia adalah pribumi geografi dan sejarah Kepulauan Melayu sejak azali,” katanya.

Murad berkata, persoalan mengenai asal usul orang Melayu tidak sepatutnya dijadikan bahan spekulasi kerana kedudukan tersebut, menurutnya, mempunyai asas sejarah dan geografi yang kukuh.

Beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap kemunculan pelbagai naratif sejarah menerusi blog, portal berita, YouTube dan media sosial yang menurutnya berpotensi mencabar naratif sejarah Melayu yang selama ini difahami.

“Perkembangan teknologi internet telah membuka ruang kepada pelbagai kelompok mengetengahkan perspektif sejarah masing-masing sehingga wujud pelbagai bentuk naratif yang bersaing untuk mempengaruhi kefahaman masyarakat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast