Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan. Foto SADIQ SANI, 04 APRIL 2026. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan bertolak ansur dan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah guna kuasa, penyelewengan atau kelemahan pengurusan yang boleh menjejaskan kepentingan pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata, tindakan tegas dan saksama berdasarkan lunas undang-undang sewajarnya diambil ke atas mana-mana individu atau entiti yang didapati bersalah melanggar amanah serta prinsip tadbir urus.

Tegas beliau, setiap langkah penguatkuasaan dan penambahbaikan yang disyorkan oleh laporan RCI akan diperincikan secara teliti demi memastikan struktur tadbir urus TH diperkemaskan ke tahap tertinggi.

“Komitmen berterusan ini amat signifikan bukan sahaja untuk menegakkan keadilan dan akauntabiliti, malah bagi memastikan kesilapan terdahulu tidak akan berulang pada masa hadapan.

“JPM (Hal Ehwal Agama) bertekad untuk memastikan TH terus kekal sebagai sebuah institusi pengurusan haji yang kukuh, berintegriti, dan sentiasa mendapat kepercayaan penuh seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah supaya siasatan berhubung Laporan RCI mengenai TH dijalankan ‘sehingga lubang cacing’.

Seri Paduka Baginda bertitah langkah itu penting bagi memastikan setiap pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya, selain memastikan perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.

Selain itu, Sultan Ibrahim juga bertitah supaya siasatan berhubung perkara berkenaan dilaksanakan secara menyeluruh, tanpa berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.

Sementara itu, Zulkifli berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menjunjung tinggi titah Seri Paduka Baginda yang menegaskan agar siasatan berhubung dapatan RCI TH dijalankan secara menyeluruh, telus dan tanpa sebarang kompromi.

“Keprihatinan Seri Paduka Baginda menggariskan kepentingan utama dalam memelihara amanah serta keyakinan umat Islam terhadap institusi pengurusan haji dan kewangan Islam negara ini,” katanya.

Laporan RCI yang diterbitkan pada 29 Julai lepas mendedahkan pelbagai dapatan penting berkaitan pengurusan dan tadbir urus institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Satu sidang khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 11 Ogos ini bagi membahaskan laporan berkenaan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Patutnya untuk semua laporan RCI, kerajaan kena bertegas Dan ambil tindakan termasuk laporan RCI FOREX BNM bila negara kerugian $30 billion..Dan laporan RCI Tommy Thomas..begitu juga kerugian TH yg lebih besar selepas tahun 2020 apabila kerajaan jual aset2 strategic TH dgn harga tak masuk akal…jgn lah berpilih2..rakyat meluat..

Comments are closed.