KUALA LUMPUR – Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan tidak bersetuju dengan dakwaan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengatakan DAP mahu menghapuskan Melayu dan Islam.

Penasihat Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki berpendapat, kenyataan sedemikian merupakan satu fitnah berpunca daripada kejahilan terhadap syariat Islam dan amalan demokrasi yang diguna pakai di Malaysia.

Dalam masa sama, beliau turut menolak dakwaan bahawa tindakan mengundi Pakatan Harapan (PH) adalah salah satu usaha menyokong DAP untuk memusuhi umat Islam.

“Bahawa DAP berhak mengundi dan berhak diundikannya.

“Maka sesiapa berkata bahawa mengundi PH adalah seolah-olah menyokong usaha-usaha DAP untuk memusuhkannya umat Islam adalah sangat jahil di dalam syariat Islam tentang hak ahli zimmah dan sangat-sangat jahil di dalam amalan demokrasi,” katanya menerusi satu kenyataan dengan tulisan tangan yang tular di media sosial.

Syeikh Wazir turut memetik sepotong hadis yang diriwayatkan Abu Daud yang mafhumnya: “Sesiapa telah menzalimi akan seseorang mu’ahid (atau zimmi) atau menghinakannya atau membebankannya lebih daripada kemampuannya atau mengambil akan sesuatu daripadanya tanpa kerelaan hatinya, maka aku (Allah) adalah musuhnya pada hari kiamat nanti.” 

Kenyataan tulisan tangan Syeikh Wazir Che Awang yang tular di media sosial.

Beliau turut mengingatkan semua pihak mengenai syarikat Islam telah menetapkan panduan jelas mengenai keadilan serta hak warganegara bukan Islam, selain memberi amaran keras terhadap tuduhan palsu dan kezaliman yang dilemparkan demi mencetuskan perpecahan.

Abdul Hadi menerusi Minda Presiden Pas bertajuk ‘DAP Memimpin PH Menyambung Kerja Penjajah Hapuskan Melayu Islam’ mendakwa DAP yang mendominasi PH sedang meneruskan agenda penjajah bagi melemahkan kedudukan Melayu dan Islam di negara ini.

Dakwa beliau, agenda berkenaan dilaksanakan melalui pendekatan politik, pendidikan, ekonomi dan pentadbiran yang menurutnya berakar daripada sistem peninggalan penjajahan. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Baru ditubuhkan, kenyataan Pondok Madani tak wakili pendirian semua pondok di Kelantan – Asri

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast