KUALA LUMPUR – Wanita yang sudah menginjak 78 tahun ini masih orang yang sama seperti di kaca televisyen. Bagaimana kepoh celoteh Si Joyah dalam drama popular tahun 1980-an, Opah, begitulah sikap pelakon veteran bernama Norlia Ghani ini.
Watak Joyah ternyata menaikkan nama Norlia sebagai pelakon sehinggalah sekarang. Dengan karakter mulut murai, drama yang dibintangi watak utama, Allahyarham Zaiton Husin itu mampu bertahan sehingga 18 tahun.
Mendekati ibu kepada pelakon Rusdi Ramli ini, ada beberapa perkara yang dikongsikan mengenai perihal peribadinya yang mungkin kita tidak tahu. Seawal usia 13 tahun, Norlia terlebih dahulu terlibat dalam bidang nyanyian kerana dia sering mengikuti kumpulan pancaragaram dan band ketika itu.
Mengakui hanya belajar sehingga Sijil Rendah Pelajaran (LCE), siapa sangka, ketika berusia 17 tahun, anak kelima daripada 11 beradik ini dinobatkan Ratu Kebaya Selangor yang diadakan di Bangunan MARA.

Rezeki bergelar juara, dari situlah dia terjerumus dalam bidang seni kerana para hakim ketika itu antaranya pengarah dan pelakon legenda,Tan Sri P Ramlee, S Kadarisman dan Omar Rojik.
Kata Norlia, dia dipanggil uji bakat pada sebelah pagi namun terus terpilih dan menjalani penggambaran pada sebelah petang dalam filem Kanchan Tirana arahan P. Ramlee bermula tahun 1968.
“Saya berlakon dengan P. Ramlee dalam tiga ke empat filem dan dia orangnya bukan macam pengarah sekarang hendak utamakan muka cantik dan kacak.
“Macam dulu dia orang ikut karakter, macam karakter jahat memang dia cari muka jahat dan memang muka-muka yang betul ada karakter tetapi boleh berlakon.
“Dia cari pelakon yang usaha beri kualiti lakonan dan bukan disebabkan muka. Hero mesti lawa dan kacak, macam itu.
“Saya berlakon dengan P. Ramle dalam tiga ke empat filem antaranya Dr Rushdi. Masa tu saya mengandungkan Rusdie (Ramli). Jadi bila bersalin, P. Ramle yang letak nama Rusdie,” katanya sambil menyifatkan S. Kadarisama sebagai guru lakonannya kerana banyak banyak menimba ilmu dengan pengarah tersohor itu.

Namun Norlia yang merupakan ibu kepada lima anak memberitahu, kemunculan drama Opah sekitar 1980-an yang merupakan idea asal A. Wahid Nasir dan diarahkan Zohara Gany Bathusha telah mengubah hidupnya.
Membawa watak Joyah, nenek kepada tujuh cucu ini mengaku cukup bertuah kerana berpeluang menjadi sebahagian daripada drama yang melonjakkan namanya sebagai pelakon.
Katnya, Opah adalah drama pertama dan watak Joyah yang dilakonkan memberi impak cukup besar sepanjang kerjaya lakonannya.
“Kekuatan drama Opah, bagi kerana jalan cerita dan bukan kerana pelakon. Opah itu makna adalah satu cerita keluarga kampung. Jadi semua ikut ciri dan suasana kampung.
“Macam opah mengajar orang memberi petua-petua kepada budak-budak kecil sehingga ada mengikuti drama itu kerana opah selalu memberi pengajaran kepada budak-budak dan cucu-cucu.
“Kalau cerita sekarang, sekejap sudah habis. Tetapi Opah bertahan sampai 18 tahun. Ada tak drama yang sekarang sampai 18 tahun dan 100 episod?,” soalnya.

Ditanya perkembangan terkini hari ini, Norlia mengakui dia bahagia dan bersyukur kerana meniti usia senja dengan perasan tenang walaupun tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) sejak 12 tahun lalu.
Jujur katanya, tiada sekelumit rasa malu tinggal di situ bersama seorang anak dan cucu walaupun hanya menyewa rumah dua bilik sahaja di Desa Tun Razak.
Apatah lagi tambah Norlia, dia pernah merasai hidup mewah apabila tinggal di kediaman mewah dengan bayaran bulanan RM2,000.
“Apa kurangnya PPR? Pada saya, anak-anak saya semua sdah ada keluarga sendiri. Jadi untuk saya tak kisah. Bukan satu penghinaan sebabnya kita artis dan duduk PPR rasa malu.
“Daripada duduk dekat tepi jalan, Alhamdulillah cukup kita sudah ada rumah. Cuma pandangan orang mungkin kalau duduk PPR ni orang ini apa kata orang, tak tahu nak jawablah. Tetapi hendak malu kenapa? Ramai pelakon-pelakon veteran sekarang kebanyakannya semua duduk PPR. Selesa dan cuma saya di sini dapat dua bilik.
“Tak malu dan kenapa hendak malu? Kalau malu pergilah sewa rumah lain. Saya pernah dulu saya pernah dulu sewa RM2,000 satu rumah sebulan. Saya mampu ketika itu. Kalau sudah tak mampu kita duduklah sementara di sini sebelum mati,” katanya.

Ditebak soalan mungkin segelintir masyarakat berfikiran skeptikal bahawa artis veteran tidak membuat simpanan wang ketika zaman muda, Norlia mengakui hal itu namun tidak tidak berkecil hati.
Akuinya, setiap manusia masing-masing ada kisah peribadi yang tidak boleh berkongsi selain alpa dengan zaman kegemilangan yang dilalui.
“Kalau nak ikutkan cerita lama-lama itu memang orang kata tak menyimpanlah sebabnya saya ini salah seorang dua artis yang pernah mewah pergi show sana, show sini dan kata orang tak ada menyimpan.
“Mungkin ada kata orang tak berfikir panjang masa muda tengah laku dan itu cerita biasa up and down kata orang. Cuma bersyukurlah sebenarnya untuk sayalah, orang lain saya tak tahu kan mungkin malu kena duduk kat PPR.
“Kita patutnya syukur, ada rezeki kita kita beli rumah PPR semua ada kemudahan cumanya saya tak ada rumah banglo tetapi sudah pernah rasa namur tidur sama juga seperti di PPR,” katanya.
Tidak hanya bergantung kepada pendapatan lakonan, Norlia turut mengakui masih aktif mencari rezeki menerusi penghasilan kandungan digital dan reviu produk sejak kebelakangan ini.
Dia melakukan sesi siaran langsung di TikTok selain bersyukur dikurniakan kesihatan yang baik tanpa masalah serius yang membataskan pergerakannya.

“Saya aktif buat ‘live’ di TikTok dan reviu makanan serta menjual produk secara affialite dan kali terakhir saya berlakon ketika Hari Raya lalu, itu pun untuk drama di TikTok.
“Saya buat TikTok tu sebabnya orang masih ingat saya dan apa yang saya buat maknanya orang ambil maklum dan macam sekarang saya buat jual produk dan artis lain pun masih banyak buat.
“Jadi saya, cuba berjaya jadi sekarang kata orang kalau tak berlakon pun saya aktif dalam TikTok sambil berjualan,” katanya.
Mengakhiri perbualan, Norlia mengakui sudah 31 tahun bergelar ibu tunggal dan dia mahu membuktikan kata-kata negatif tidak boleh hidup tanpa suami itu tidak benar.
“Saya telah buktikan kepada semua bahawa ibu tunggal boleh hidup cuma kena usaha dan jangan asyik menadah tangan kepada orang.
“Kita masih boleh cari rezeki secara halal kerana Allah SWT sentiasa ada. Jangan pedulikan orang pandang rendah ibu tunggal ini,” katanya yang pernah mengalami kegagalan dalam tiga perkahwinan sebelum ini. – MalaysiaGazette
















