KUALA LUMPUR – Keegoan Barisan Nasional (BN) dalam rundingan pembahagian kerusi semakin menyusahkan usaha membina persefahaman, kata Timbalan Presiden Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Mior Haidir.
Lebih membimbangkan, menurutnya, BN seolah-olah mula merasakan bahawa orang Melayu sudah kembali menerima parti itu dan kembali menjadi “abang besar” dalam politik Melayu.
Ujarnya, BN tidak boleh keliru antara kemenangan hasil persefahaman dengan penerimaan mutlak rakyat.
Menurutnya, jika benar BN sudah kembali kuat dan benar-benar diterima orang Melayu, tidak perlu menggunakan keputusan pilihan raya yang lalu sebagai alasan untuk menganggap semua kerusi tersebut sebagai `kerusi BN’.
“PRN Melaka dan negeri-negeri lain selepas ini akan menjadi ujian sebenar.
“Lebih-lebih lagi apabila pilihan raya negeri akan datang akan menguji semula pola sokongan rakyat dalam keadaan politik yang berbeza.
“BN tidak boleh menganggap sedikit kelonggaran penerimaan selepas persefahaman sebagai bukti bahawa orang Melayu sudah melupakan segala kekecewaan terhadap BN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, tambah beliau, Perikatan Nasional (PN) juga perlu tegas dan jangan terlalu takut kehilangan persefahaman sehingga akhirnya menerima sahaja apa yang dituntut BN.
Ujarnya, jika mempunyai kekuatan dan sokongan akar umbi di sesuatu kawasan, PN mesti berani mempertahankannya memandangkan persefahaman tidak bermaksud PN perlu mengorbankan kekuatan sendiri.
“Jika PN terlalu banyak mengalah, jangan terkejut jika pengundi sendiri mula bertanya: “Kalau PN sendiri tidak berani mempertahankan kekuatannya, mengapa kami perlu terus mempertahankan PN?”
“Ini bukan soal siapa lebih besar. Ini soal siapa yang benar-benar mempunyai sokongan rakyat.
“BN perlu merendahkan ego. PN pula perlu tegas,” katanya.
Menurutnya, selepas Melaka, negeri-negeri lain juga akan melalui pilihan raya dan keputusan-keputusan itu akan menentukan sama ada BN benar-benar telah kembali diterima atau sekadar mendapat manfaat daripada perubahan konfigurasi politik dan persefahaman.
“Jangan jadikan persefahaman sebagai lesen untuk BN mendakwa semua kerusi adalah milik mereka.
“Dan jangan pula PN mengorbankan sokongan yang telah dibina hanya kerana mahu menjaga persefahaman,” katanya. – MalaysiaGazette















