Kerja-kerja perobohan Stadium Shah Alam yang bermula semalam akan dilakukan secara berperingkat bagi memberi laluan kepada pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang dijangka siap sepenuhnya pada 2029 ketika di Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 02 JULAI 2024.

SHAH ALAM – Status pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA), termasuk Stadium Shah Alam, sekali lagi menjadi perhatian apabila tiada laporan kemajuan dan sumber pembiayaan projek bernilai lebih RM3 bilion itu.

Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara paling membimbangkan ialah sehingga hari ini, Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) masih meneliti sumber pembiayaan projek berkenaan.

Beliau berkata, Rancangan Selangor Kedua (RS2) hanya menyentuh pembangunan KSSA sebagai mercu tanda sukan Selangor, namun tidak memberikan perincian mengenai kemajuan, impak ekonomi atau komitmen kerajaan negeri terhadap projek tersebut.

“Saya difahamkan sehingga hari ini, pihak MBI masih lagi meneliti sumber pembiayaan projek pembangunan KSSA yang berjumlah melebihi RM3 bilion.

“Kaedah pembiayaan melalui pertukaran tanah masih belum dikenal pasti tanah untuk maksud ini oleh kerajaan negeri dan pihak MBI,” katanya ketika membahaskan RS2 pada persidangan Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Menurut Azmin, persoalan utama bukan berkaitan keperluan membangunkan KSSA, sebaliknya sejauh mana kerajaan negeri mempunyai perancangan jelas untuk memastikan projek itu dapat disiapkan mengikut jadual.

“Tidak ada laporan kemajuan. Tidak ada laporan impak ekonomi. Tidak ada sebarang komitmen untuk membangunkan KSSA,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kemampuan kerajaan negeri menanggung implikasi kewangan projek sekiranya berlaku kelewatan atau pertukaran pentadbiran selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Kalau dilengah-lengahkan, masuk kerajaan baharu esok, kami hendak tanggung.

“Jadi jangan bebankan kegagalan kerajaan negeri pada hari ini untuk mengenal pasti tanah dan sumber pembiayaan pun gagal,” katanya.

Bagaimanapun, berdasarkan jawapan bertulis Dewan Negeri Selangor pada April lalu, kemajuan fizikal projek KSSA setakat 31 Mac 2026 sebenarnya mencapai 8.52 peratus dan dinyatakan mengikut jadual asal.

Kerja pemasangan papan adang, perobohan Stadium Malawati, Stadium Mini serta struktur berkaitan seperti bangunan sukan futsal dan padang bola sepak sintetik telah dilaksanakan sepenuhnya ketika itu.

Kerja pembersihan tapak pula sedang dijalankan, manakala kerja tanah telah bermula sejak Januari 2026. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast