BOGOTA, Colombia – Sekurang-kurangnya 169 orang maut dan lebih 600 lagi cedera dalam gempa bumi berukuran 7.4 magnitude yang melanda Colombia.
Kebanyakan kematian dilaporkan berlaku di bandar-bandar di bahagian barat negara itu, termasuk Cali, Pereira, Manizales dan Quibdo.
Datuk bandar di Colombia turut melaporkan sebanyak 165 bangunan runtuh susulan gempa bumi berukuran 7.4 magnitud yang melanda negara itu pada Isnin.
Gempa bumi berukuran 7.4 magnitud melanda beberapa bandar di wilayah barat Colombia kira-kira jam 7.30 pagi (12.30 tengah hari GMT), menyebabkan penduduk yang panik bergegas keluar ke jalan raya, menurut wartawan AFP di lokasi.
Presiden Colombia, Abelardo de la Espriella yang baru tiga hari mengangkat sumpah jawatan mengisytiharkan darurat dan berjanji untuk melaksanakan usaha menyelamat secara bersepadu.
Sebelum itu, de la Espriella berkata jumlah kematian ialah 111 orang.
Bandar Pereira, antara kawasan yang paling teruk terjejas, hampir keseluruhannya bergelap akibat gangguan bekalan elektrik pada malam Isnin ketika sukarelawan mencari tanda-tanda kehidupan di bawah bangunan yang runtuh.
Kemusnahan dapat dilihat di beberapa bandar, dengan perabot dan fabrik tersepit di celah konkrit, manakala dinding serta lantai tercampak pada sudut tidak menentu dan kabel berselerakan di jalan raya.
Di Manizales, gempa itu menyebabkan sebuah menara katedral neo-Gothic yang menjadi kebanggaan bandar berkenaan runtuh.
Manakala di Quibdo, ibu negeri jabatan Choco, pegawai tempatan Jenny Rivas berkata, perkhidmatan awam dan komunikasi “hampir terputus sepenuhnya.”
Gempa itu dirasai di seluruh Colombia, termasuk ibu negara Bogota, apabila orang ramai berpusu-pusu keluar ke jalan dalam keadaan masih memakai pakaian tidur.
Gempa yang berlaku pada kedalaman 110 kilometer (68 batu) itu turut dirasai di negara jiran Ecuador dan Panama.
Pakar di Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa itu berkemungkinan berpunca daripada pergerakan di sepanjang sesar dalam pada plat tektonik Nazca.
Hospital di lima bandar Colombia diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga tahap merah pada Isnin, manakala perintah berkurung pada waktu malam diisytiharkan di Cali, menurut pihak berkuasa tempatan.
Sekurang-kurangnya enam lapangan terbang tempatan menghentikan operasi, menurut agensi penerbangan awam negara itu. – Agensi
















