SHAH ALAM – Seramai 10,111 pencari kerja lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) direkodkan di Selangor bagi tempoh Januari hingga 10 Julai 2026, ketika negeri itu mempunyai ribuan kekosongan pekerjaan berkemahiran tinggi dalam sektor strategik.
Exco Sumber Manusia Selangor, Papparaidu Veraman berkata, berdasarkan statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sebanyak 78,030 kekosongan jawatan bagi kelayakan diploma dan ke atas direkodkan dalam tempoh sama.
“Dari jumlah itu, sebanyak 3,965 kekosongan dalam bidang berkemahiran tinggi yang menyokong industri strategik.
“Antaranya sektor automotif, semikonduktor dan pembuatan, selain bidang berkaitan kecerdasan buatan (AI),” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Nushi Mahfodz (PN-Semenyih) yang bertanyakan tentang sejauh mana kerajaan negeri mengoptimumkan tenaga kerja daripada kelulusan TVET bagi menyokong industri lokomotif, semikonduktor dan perbuatan.
Menurut Papparaidu, antara jawatan yang ditawarkan ialah Automation Engineer, Data Scientist dan Software Developer, yang memerlukan kemahiran teknikal serta kompetensi selaras dengan latihan diterima lepasan TVET.
“Bagi memastikan bakat TVET dapat dioptimumkan untuk memenuhi keperluan industri, Kerajaan Negeri melalui Program Kerjaya Selangor terus bekerjasama dengan PERKESO menerusi platform MYFutureJobs.
“Kerjasama ini bertujuan memadankan pencari kerja dengan majikan berdasarkan kelayakan, kemahiran dan keperluan industri,” katanya.
Selain itu, kata Papparaidu, kerajaan negeri turut memperkukuh usaha meningkatkan kebolehpasaran lepasan TVET menerusi penganjuran Karnival Kerjaya JobCare Selangor dan Mega JobCare Selangor.
“Program berkenaan menyediakan peluang temuduga secara langsung antara pencari kerja dan majikan, sekaligus membantu industri mendapatkan tenaga kerja mahir yang diperlukan.
“Data itu menunjukkan keperluan untuk memperkukuh padanan antara latihan TVET dengan permintaan sebenar industri, khususnya sektor berteknologi tinggi yang menjadi antara pemacu utama ekonomi Selangor.
“Ia bagi memastikan lepasan TVET bukan sekadar memperoleh kelayakan teknikal, sebaliknya dapat diserap terus ke dalam sektor yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi seperti automotif, semikonduktor, pembuatan berteknologi tinggi dan AI,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















