Exco Pelaburan, Perdagangan & Mobiliti, Ng Sze Han pada sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Malaysia Semiconductor IC Design Park (MSICDP) di Selangor kini menempatkan 18 syarikat reka bentuk litar bersepadu (IC) yang beroperasi di dua lokasi utama, sekali gus mencetuskan impak ekonomi dianggarkan bernilai RM4.2 bilion.

Exco Pelaburan, Perdagangan & Mobiliti, Ng Sze Han berkata, syarikat berkenaan kini beroperasi di IC Design Park 1 di Puchong dan IC Design Park 2 di Cyberjaya, menjadi antara pemacu utama pembangunan industri semikonduktor berteknologi tinggi di negeri itu.

Menurutnya, ia merangkumi nilai syarikat dan aktiviti perniagaan yang diwujudkan, penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi dengan gaji kompetitif serta kesan limpahan ekonomi kepada sektor perniagaan, perkhidmatan dan infrastruktur di sekitar Puchong dan Cyberjaya.

“Dalam Suku Kedua 2026 sahaja, ekosistem Selangor Semiconductor Hub berjaya merangsang pelaburan berjumlah RM221 juta, terdiri dari RM131 juta pelaburan langsung asing (FDI) dan RM90 juta pelaburan langsung dalam negeri (DDI),” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ong Chun Wei (PH-Balakong) yang bertanyakan tentang perkembangan terkini MSICDP di Selangor dari segi pengoperasian, peluang pekerjaan serta nilai pelaburan yang dicipta.

Sze Han juga berkata, antara pencapaian utama ialah kejayaan SkyeChip menjalinkan perkongsian strategik dengan Cerebras Systems, syarikat teknologi kecerdasan buatan (AI) terkemuka dari Amerika Syarikat.

“Ekosistem MSICDP turut menerima kemasukan syarikat bertaraf global termasuk XPENG dari China ke dalam IC Design Park, sekali gus mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai lokasi yang berpotensi menarik syarikat teknologi antarabangsa,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, GreatAsic Technology berjaya memperoleh pembiayaan Pre-Series A berjumlah AS$6.9 juta, dengan penyertaan firma modal teroka antarabangsa Vertex Ventures dan Gobi Partners.

“Kejayaan itu merupakan petunjuk jelas terhadap keyakinan pelabur antarabangsa terhadap bakat tempatan serta potensi pertumbuhan syarikat semikonduktor yang berpangkalan di Selangor,” katanya.

Daripada sudut pelaburan domestik pula, katanya, Kerajaan Negeri Selangor menerusi Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (SIDEC) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) telah mengesahkan komitmen pelaburan kepada Ehsan Semiconductor Fund.

“Dana berkenaan seterusnya telah melaksanakan dua pelaburan aktif masing-masing dalam SkyeChip Berhad dan GreatAsic Technology.

“Malah SkyeChip turut mencatat sejarah apabila menjadi syarikat reka bentuk IC tulen pertama di Malaysia yang melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO),” katanya.

Sementara itu, jelasnya, seramai 80 jurutera tempatan baharu diambil bekerja sepanjang 2026, menjadikan jumlah keseluruhan jurutera yang bekerja di kedua-dua IC Design Park kini mencecah 380 orang.

Menurutnya, dengan anggaran gaji permulaan sebanyak RM6,000 sebulan, 380 jurutera terbabit menjana nilai gaji tahunan kira-kira RM27.36 juta.

“Jumlah itu menunjukkan bagaimana pertumbuhan industri semikonduktor bukan sekadar menghasilkan angka pelaburan. Malah memberi kesan langsung kepada pendapatan golongan profesional tempatan serta mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi,” katanya.

Selain itu, katanya, MSICDP menyasarkan jumlah keseluruhan tenaga juruteranya meningkat kepada 400 orang menjelang akhir 2026.

“Ini bermakna sekurang-kurangnya 20 lagi jurutera perlu direkrut bagi mencapai sasaran tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast