JOHOR BAHRU – Projek pembangunan di Johor menunjukkan pencapaian positif apabila 33 daripada 69 projek sudah pun 47.9 peratus selesai.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, projek-projek berkenaan melibatkan 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Setiausaha Kerajaan (SUK) Bahagian Kerajaan Tempatan.
Jelas beliau, perkembangan itu berdasarkan pelaksanaan dan pemantauan berterusan untuk projek-projek pembangunan dan penaiktarafan di Johor.
“Sebanyak 25 projek atau 36.2 peratus sedang dilaksanakan dan 11 projek atau 15.9 peratus sedang dalam proses kelulusan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, bagi projek yang sudah siap contohnya Night Zoo Johor yang dibuka semula selepas dinaik taraf kini memberikan kesan positif.
“Ini dibuktikan apabila Night Zoo Johor merekodkan kehadiran 368,784 pelancong dengan hasil diterima berjumlah RM3.3 juta sejak ia dibuka 27 Mac lalu.
“Kehadiran pengunjung yang cukup baik juga direkodkan di Hutan Bandar Johor Bahru yang mencatatkan 112,479 orang, Taman Merdeka (34,535) dan Taman Teluk Danga dengan 290,408 sehingga 31 Julai,” katanya.
Menurutnya, kehadiran memberangsangkan itu susulan penyelenggaraan yang baik terhadap kemudahan-kemudahan awam di negeri ini.
“Lebih menarik, kawasan pelancongan Eco Tourism Kampung Sungai Melayu menerima kehadiran 15,188 pengunjung dengan hasil diterima hampir RM669,000 sehingga 31 Julai,” ujarnya.
Tambahnya, jumlah kehadiran pelancong meningkat 143.01 peratus manakala hasilnya juga meningkat 219.68 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Mohd Jafni berkata, pencapaian itu adalah antara 12 projek utama berimpak tinggi di Johor yang dinaik taraf sekali gus membuktikan peranan kerajaan tempatan bukan hanya mengurus bandar tetapi membina persekitaran selesa, selamat dan berkualiti untuk rakyat.
Justeru, katanya, penaiktarafan seperti ini akan dirancakkan kerana bukan sahaja memberi impak terhadap keindahan kawasan tetapi menggalakkan pertumbuhan ekonomi setempat.
Selain itu beberapa projek lain sedang memasuki fasa akhir antaranya Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan dan penyelesaian banjir di Kampung Mohd Amin yang dijangka siap hujung bulan depan.
“Sistem perparitan Jalan Dato Sulaiman juga disangka siap 14 Ogos, Santuari Buaya Tanjung Langsat yang kini mencapai 70 peratus disasarkan siap 19 September sementara Pusat Rekreasi Sungai Lebam, Pengerang yang kini mencapai 75 peratus siap dijangka selesai 30 September,” katanya.
Beliau mengingatkan, tempoh berbaki ini mesti digunakan sebaiknya dengan kekerapan pemantauan termasuk sekecil-kecil perkara bagi memastikan kemudahan ini dapat dinikmati rakyat.- MalaysiaGazette
















