JOHOR BAHRU – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan terhadap dua lelaki warga Indonesia atas kesalahan penyelewengan diesel di sebuah premis di Taman Mount Austin di sini pada 23 April lalu.
Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh, Hendrick Dwi Setyawan, 38, dan Maulana Bachrudin, 28, selepas kedua-duanya mengaku bersalah.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh yang juga merupakan pekerja di premis berkenaan menyebabkan sebanyak 12,789 liter diesel disimpan dalam tempat penyimpanan yang tidak dibenarkan oleh Pengawal Bekalan.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Johor, Nur Sulehan Abd Rahman.
Pada 23 April 2026, sebuah premis di Taman Mount Austin, Johor Bahru diserbu KPDN Johor kerana menyimpan 12,789 liter minyak diesel di dalam tempat penyimpanan yang tidak dibenarkan oleh Pengawal Bekalan.
Kedua-dua lelaki juga gagal mengemukakan sebarang lesen, permit atau dokumen di bawah undang-undang KPDN.- MalaysiaGazette
















