Jegan (duduk, kiri) menunjukkan minyak masak paket bersubsidi yang dirampas pihaknya.

BUKIT MERTAJAM – Sebanyak 3,150 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang dalam serbuan Ops Tiris 4.0, semalam.

Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata, serbuan itu dilakukan selepas pihaknya menjalankan risikan selama sebulan terhadap tiga premis berasingan, selain menahan seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kira-kira 2,300kg minyak masak paket bersaiz satu kilogram dirampas di dua lokasi pertama, manakala 850kg lagi dikesan sebagai lebihan stok di sebuah premis berlesen.

“Pemeriksaan di premis berkenaan turut menemukan paket kosong yang sudah dipotong, dua pisau dipercayai digunakan untuk memotong paket, pam bersama set hos, tangki IBC kosong berkapasiti 1,000 liter, penimbang elektrik, salinan lesen Akta Kawalan Bekalan (CSA), dokumen pendaftaran syarikat dan tiga bakul.

“Berdasarkan pemeriksaan dan siasatan awal, lebihan minyak masak itu dipercayai bukan untuk dijual kepada orang awam, sebaliknya diproses menjadi minyak masak terpakai sebelum dijual semula.

“Minyak bersubsidi berkenaan dibeli dalam bentuk paket, kemudian paket dipotong sebelum minyak dicampurkan dengan bahan pewarna dan dipindahkan ke dalam tangki IBC untuk dijual sebagai minyak terpakai,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Tambah Jegan, premis berlesen itu hanya dibenarkan menyimpan 1,000kg minyak masak bersubsidi, namun pemeriksaan mendapati stok yang ada sebanyak 1,850kg, iaitu lebihan kira-kira 850kg.

Katanya, sebuah kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara turut disita, menjadikan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM95,000.

“Dua kesalahan disyaki dilakukan mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 10(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.

Mengulas modus operandi, Jegan berkata, suspek dipercayai memperoleh keuntungan kira-kira RM1 bagi setiap paket minyak masak selepas memprosesnya untuk dijual sebagai minyak terpakai pada harga RM3.50.

“Keuntungan diperoleh tanpa perlu mencari peruncit kerana terdapat banyak pihak yang mengumpul minyak masak terpakai, sekali gus menyediakan pasaran sedia ada,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast